top of page

UMS Buka Kedai Buku, Langkah Strategik Pupuk Budaya Ilmu

  • nabalunews
  • 20 minutes ago
  • 1 min read

ree

24 September 2025


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Penerbit UMS membuka sebuah kedai buku baharu di sini pada Selasa, sebagai usaha memupuk budaya ilmu dan menggalakkan minat membaca dalam kalangan warga universiti serta masyarakat.


Majlis peluncuran kedai buku yang terletak di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) itu disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.


Menurutnya, kedai buku tersebut bukan sahaja menjadi lokasi urusan jual beli, sebaliknya berfungsi sebagai pusat ilmu yang menghimpunkan pelbagai khazanah pengetahuan termasuk karya warga universiti.


“Kedai buku ini dijangka berkembang sebagai hab pertukaran ilmiah dengan penganjuran program seperti peluncuran buku, pameran penerbitan dan wacana ilmu.

ree

“Ia adalah langkah strategik untuk memupuk budaya ilmu dalam kalangan warga kampus dan masyarakat umum,” katanya.


Untuk rekod, kedai buku yang berkonsep moden itu menawarkan penerbitan akademik, jurnal ilmiah, buku bacaan umum, karya popular serta koleksi kanak-kanak.


Ia turut menampilkan Sudut Penulis Universiti sebagai ruang berkongsi dan memaparkan hasil karya pelajar serta kakitangan UMS.


Sementara itu, Pengarah Penerbit UMS, Profesor Madya Dr. Patricia Matanjun berkata, kewujudan kedai buku itu menyediakan akses mudah kepada bahan bacaan berkualiti dan berperanan sebagai jambatan ilmu bagi masyarakat.


Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly dan Dekan PPIB, Profesor Datuk Dr. Ismail Ali.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page