UMS, IDS Rangka Pelan Strategik Pembangunan Kinabatangan 2025-2035
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

KINABATANGAN – Sekumpulan penyelidik dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), dengan kerjasama Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), menjalankan kajian lapangan bagi melaksanakan Kajian Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kinabatangan 2025–2035.
Kajian tersebut turut mendapat sokongan daripada Pejabat Ahli Parlimen P.187 Kinabatangan dan diketuai oleh Dr. Amrullah Maraining bersama Profesor Madya Dr. Ramli Dollah, Profesor Madya Dr. Nordin Sakke serta Ketua Bahagian Sosial dan Dasar Awam IDS, Mansalasah Musa.
Kerja lapangan itu melibatkan siri lawatan ke beberapa perkampungan di sepanjang Sungai Kinabatangan, antaranya Kampung Batu Puteh, Kampung Mengaris, Kampung Sri Ganda, Kampung Abai, Kampung Mumiang, Kampung Tanjung Batu Darat, Kampung Tanjung Batu Laut, Kampung Semangat Payau dan Kampung Tanjung Aru.
Menurut Amrullah, kajian itu bertujuan mengenal pasti potensi pembangunan Daerah Kinabatangan secara menyeluruh meliputi aspek ekonomi, sosial dan fizikal.

"Selain itu, kajian ini bertujuan merangka Pelan Strategik Pembangunan Lestari Daerah bagi tempoh jangka panjang, di samping menyediakan dokumen rujukan yang praktikal untuk digunakan oleh agensi pelaksana serta pembuat dasar dalam merancang pembangunan daerah secara lebih sistematik dan berimpak tinggi," katanya.
Beliau berkata kajian tersebut turut memberi penekanan kepada usaha dalam mewujudkan keseimbangan antara pembangunan sosioekonomi dengan keperluan memelihara ekosistem serta aset alam sekitar yang menjadi kekuatan utama Kinabatangan.
Amrullah turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen P.187 Kinabatangan, YB Datuk Mohd Kurniawan Naim Mokhtar, atas sokongan penuh yang diberikan dalam menjayakan penyediaan Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kinabatangan 2025–2035.
Beliau berharap hasil kajian tersebut dapat menjadi asas penting kepada perancangan pembangunan Kinabatangan yang lebih inklusif, mampan dan berteraskan keperluan komuniti setempat, sekali gus membantu kerajaan serta agensi berkaitan merangka dasar dan pelaksanaan program pembangunan yang lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat.
Turut hadir ialah Shah Risan Jefry (Pegawai Belia Parlimen), Amrin Zainal (Pegawai Logistik Parlimen), Sudirman Asmara Pemaju (Mukim Mumiang), Awang Kasim (Pemaju Mukim Lubukan) Dan Fazirul Sulaiman (Pemaju Mukim Tg Aru).











