top of page

UMS Jadi Platform Wacana Hubungan Antarabangsa Bersama Duta Romania

  • nabalunews
  • 49 minutes ago
  • 2 min read

Kasim (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Nineta sebagai tanda penghargaan sempena program The International Relations Ambassador Talk.
Kasim (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Nineta sebagai tanda penghargaan sempena program The International Relations Ambassador Talk.

7 April 2026


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) telah mengadakan program The International Relations Ambassador Talk bersama Duta Besar Romania ke Malaysia, Nineta Bărbulescu.


Ia sebagai usaha memperkukuh kefahaman berkaitan diplomasi antarabangsa dalam kalangan warga akademik dan mahasiswa.


Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, penganjuran siri syarahan tersebut merupakan satu inisiatif bermakna dan berharga kepada komuniti akademik UMS untuk berinteraksi secara langsung dengan pengamal dalam bidang hubungan antarabangsa.

Kasim dan Nineta merakamkan gambar bersama para ahli akademik serta pelajar FSSK.
Kasim dan Nineta merakamkan gambar bersama para ahli akademik serta pelajar FSSK.

“Sesi pada hari ini amat signifikan dengan kehadiran Nineta Bărbulescu yang memiliki pandangan serta pengalaman luas yang pastinya akan memperkaya pemahaman kita mengenai diplomasi global.


“Program Hubungan Antarabangsa FSSK, bersama program lain seperti Sejarah, Geografi, Komunikasi, Perhubungan Industri, Sosiologi dan Antropologi, akan terus memainkan peranan penting dalam memupuk pemikiran kritis dan kesedaran global dalam kalangan pelajar,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena program tersebut di sini.


Tambah Kasim, kepelbagaian budaya dalam masyarakat di Sabah sudah cukup memperkayakan persekitaran akademik serta mempersiapkan pelajar untuk berinteraksi secara bermakna dalam dunia yang kompleks dan saling berhubung, sekali gus meluaskan peranan UMS sebagai pusat rujukan ilmu bukan sahaja di Borneo, malah di peringkat yang lebih luas.


Mengulas isu semasa, beliau berkata perkembangan dan ketegangan melibatkan Iran ketika ini memberi implikasi meluas bukan sahaja di peringkat serantau, malah global, termasuk terhadap ekonomi dan keselamatan.


“Sehubungan itu, kami amat berbesar hati kerana Nineta sudi berkongsi perspektif mengenai dasar luar Romania serta perkembangan antarabangsa yang lebih luas dari sudut pandangan Eropah.


“Semoga lawatan ini akan terus mengukuhkan hubungan persahabatan serta kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Romania,” ujar beliau.


Dalam sesi wacana itu, Nineta Bărbulescu berkongsi pandangan mengenai dasar luar Romania khususnya selepas zaman Revolusi Romania awal 1990-an serta perkembangan antarabangsa dari perspektif Eropah, selain turut menekankan kepentingan untuk mengadakan dialog, persefahaman serta membentuk pakatan bersama negara-negara lain dalam dunia yang semakin saling berkait.


Hadir sama Dekan FSSK, Profesor Dr. Asmady Idris; Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global UMS, Profesor Madya Dr. Wardatul Akmam Din; dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Dr. Rizal Zamani Idris.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page