top of page

UMS Jayakan Minggu Akademia 2025, Perkasa Inovasi dan Fleksibiliti dalam Pendidikan Tinggi

  • nabalunews
  • 9 minutes ago
  • 2 min read

ree

24 November 2025


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan komitmennya memperkukuh kecemerlangan akademik melalui penganjuran Minggu Akademia UMS 2025, anjuran Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA).


Program tersebut diadakan bersempena sambutan Hari Akademia pada 5 Oktober setiap tahun yang diraikan selaras dengan UNESCO World Teachers’ Day.


Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, dalam ucapan perasmian menyatakan bahawa Minggu Akademia merupakan wadah menghargai dedikasi para pendidik UMS yang memainkan peranan penting dalam memajukan pendidikan tinggi negara, khususnya di Sabah.


Beliau turut menekankan kepentingan inovasi dan keupayaan fleksibel dalam pengajaran sebagai keperluan utama era pendidikan masa kini.


Majlis perasmian turut diserikan dengan Wacana Akademia yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Dato’ Profesor Dr. Mohammad Shatar Sabran, yang berkongsi pandangan berkaitan kepentingan kualiti, kelestarian dan keupayaan daya saing institusi pendidikan tinggi.


Sepanjang Minggu Akademia berlangsung, pelbagai program ilmiah dilaksanakan, antaranya Academia Walk dan Webinar Kecemerlangan Akademik yang memberi tumpuan kepada integrasi nilai moral, elemen kelestarian dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).


Program turut diperkukuh dengan penganjuran UMS SULAM Showcase yang menjadi platform perkongsian inovasi pengajaran berasaskan perkhidmatan yang menghubungkan ilmu akademik dengan keperluan komuniti.


Kemuncak Minggu Akademia ialah sesi pitching finalis Anugerah Kecemerlangan dan Inovasi Pengajaran & Pembelajaran (AKIPP) 2025, yang menerima 37 penyertaan merangkumi pelbagai kategori inovasi pengajaran.


Dalam kategori Anugerah Pengajaran Transformatif, Dr. Mohd Taqwudin Mohd Yazid (PPIB) muncul johan melalui inovasi Pengajaran Asas Kemahiran Membaca dan Menulis Bahasa Arab berasaskan Bimbingan Rakan Sebaya dan Pembelajaran Kendiri pada Era Digital. Tempat kedua dimenangi Elnetthra Folly Eldy (PPST), manakala Ts. Dr. Norzilawati Mohamad (FKJ) meraih tempat ketiga.


Bagi Anugerah Pengalaman Pembelajaran Imersif (Teradun), johan disandang Profesor Madya Dr. Liew Thor Seng (IBTP) melalui pendekatan imersif dalam kursus sukar berasaskan gabungan flipped classroom dan pembelajaran teradun.


Dalam kategori Anugerah Citra Micro-Credential, Ernahwatikah Nasir (PPIB) muncul johan melalui inovasi MYHaN: First Step in Speaking Mandarin, manakala naib johan dimenangi Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rakib Mohd Rashid (Fakulti Pertanian Lestari) melalui inovasi Micro-Credential dalam Pengeluaran Cendawan.


Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Naib Canselor UMS dalam Majlis Penutupan Minggu Akademia bertempat di Le Meridien Hotel, Kota Kinabalu.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page