top of page

UMS Kecam Insiden Bakar Karikatur Perdana Menteri

  • nabalunews
  • Jun 23
  • 1 min read

23 Jun 2025


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menolak sekeras-kerasnya insiden membakar karikatur menyerupai Perdana Menteri yang dilakukan peserta Himpunan Gempur Rasuah 2.0, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.


UMS dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya memandang serius tindakan berkenaan yang disifatkan bertentangan dengan norma-norma perhimpunan aman.


“Ia adalah tindakan tidak beradab, kurang matang, sekaligus tidak mencerminkan intelek pelajar institusi pengajian tinggi.


“Pihak universiti juga menolak sekeras-kerasnya sebarang tindakan berisiko yang boleh mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada peserta malah kepada orang awam,” menurut kenyataan itu.


UMS turut menegaskan institusi pengajian itu tidak terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam insiden tersebut.


Sehubungan itu katanya, pihak pengurusan universiti akan membuat satu laporan polis berhubung insiden itu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan lanjut.


Sementara itu, UMS turut melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan kumpulan terbabit yang mempersoalkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah, sedangkan ia dibuat atas perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang sewajarnya dihormati.


Perhimpunan anjuran kumpulan mahasiswa UMS itu, antara lain menuntut tindakan perundangan terhadap Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), autonomi penuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tindakan tegas kepada perasuah serta gantung tugas kepada yang didakwa.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page