top of page
nabalunews

UMS LAKSANA DASAR INKLUSIF OKU



Ruang laluan OKU (ramp) di Dewan Kuliah Pusat 2, Universiti Malaysia Sabah.

Oleh Dr Norhuda Salleh dan Dr Zaiton Mohamad


Dr Norhuda Salleh dan Dr Zaiton Mohamad

Bahagia menjadi manusia sempurna yang diciptakan oleh Allah swt satu rahmat yang tidak ternilai yang dipinjamkan buat setiap insan. Perasaan bahagia itu subjektif sifatnya kepada setiap individu terpulang bagaimana kita sebagai insan melihatnya. Sihat tubuh badan, cukup sifat anggota, kaya, miskin, atau apa sahaja, itu definisi yang kita berikan mengikut acuan pendidikan, latar budaya, sejarah keluarga dan persekitaran.


Namun ada juga manusia yang dipandangan mata kasar kita kurang sempurna daripada sudut fizikal tetapi amat bahagia daripada kita yang sempurna. Mungkin sahaja mereka ini lebih “sempurna” akalnya daripada manusia yang cukup sifat anggotanya. Pendek kata berbicara soal kesempurnaan ini terlalu luas skop dan bahasannya.

Apa pun bersyukur dengan setiap “kesempurnaan” yang dipinjamkan Allah kepada kita manusia. Tuntasnya kesempurnaan tidak pernah wujud dalam diri manusia kerana manusia hanyalah manusia yang tidak bisa mencipta apa pun tanpa Ehsan penciptaNya.


Manusia yang tidak mempunyai ketidakupayaan jangka masa panjang daripada segi fizikal, mental, intelektual atau pancaindera yang apabila berhadapan dengan pelbagai halangan mungkin tidak dapat melibatkan diri sepenuhnya dan secara efektif dalam masyarakat.


Golongan ini didefinisikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) dalam konteks kita di Malaysia. Santunnya kerajaan terhadap golongan ini, satu akta yang dikenali sebagai Akta Hak Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) diwujudkan bagi memastikan OKU tidak terpinggir dan hak mereka secara eksklusif dilindungi.

Tempat letak kereta yang dikhususkan untuk warga OKU di Bahagian Perkhidmatan Akademik.

Seboleh mungkin golongan ini disediakan kemudahan oleh kementerian yang berkaitan sebagaimana manusia normal bagi memastikan mereka tidak terpinggir dalam negara mencapai status negara maju menjelang 2030. Jabatan Kebajikan Masyarakat diberikan tanggunjawab yang cukup berat dalam menyantuni OKU.


UMS Melahirkan Cerdik Pandai OKU


Ilmu pengetahuan merupakan jaminan kecemerlangan kehidupan di dunia mahupun di akhirat kelak. Sehubungan itu bagi memastikan OKU tidak dipinggir dalam mendapat akses pendidikan maksimum, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) juga telah menggubal Dasar Inklusif OKU di Institusi Pengajian Tinggi pada tahun 2018 yang menitikberatkan layanan yang sama rata kepada semua warga kampus tanpa sebarang diskriminasi melalui penyediaan kemudahan prasarana seperti aksesibiliti, infrastruktur dan sokongan sosial yang munasabah kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).


Kemudiannya pada 5 September 2019 Dasar Inklusif Orang Kurang Upaya Kementerian Pengajian Tinggi dilancarkan oleh YB Menteri.


Selaras dengan hasrat murni KPT dalam memberikan layanan inklusif kepada OKU, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 1 Februari 2020 telah menubuhkan Pusat Pengurusan OKU (PPOKUMS). Objektif penubuhan PPOKUMS memantapkan pembinaan sahsiah golongan warga OKU UMS dengan menyediakan perkhidmatan dan pengendalian yang cekap dan berkesan. Selain itu penubuhan PPOKUMS diharap dapat memperkasa jaringan alumni OKU dan hubungan kerjaya.


Bagi memastikan PPOKUMS mencapai objektif penubuhannya, Garis Panduan Pelaksaan Dasar Inklusif OKU di IPT menjadi teras rujukan di UMS untuk kelestarian pelajar.


Sebagai sebuah universiti rakyat di Sabah, UMS berusaha melaksanakan amalan baik daripada segi menyediakan khidmat sokongan dan kemudahan pelajar OKU. Sehubungan itu PPOKUMS berusaha meminimunkan halangan fizikal daripada segi aksesibiliti infrastruktur (kemudahan lif, tempat letak kereta khas dan penyediaan kenderaan khas), menyediakan format penyampaian maklumat yang sesuai, prosedur yang fleksibel dan sikap terbuka serta empati dalam kalangan warga UMS kepada golongan OKU ini.

Kemudahan OKU UMS


Walaupun masih bertatih menyantuni golongan ini UMS sentiasa berusaha mempertingkatkan segala kemudahan yang diperlukan oleh warga OKU UMS yang meliputi pelajar dan staf berada di tahap terbaik.


Bagi memastikan pelajar OKU diberikan hak inklusif PPOKUMS dalam tempoh 24 bulan berusaha melengkapkan kemudahan peralatan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). UMS mempunya Garis Panduan PdP bagi memastikan PdP dilaksanakan secara inklusif untuk golongan ini.


Buat masa ini kemudahan dalam PdP antaranya ialah penyediaan kubikal, bahan-bahan bacaan dalam huruf braille, ruang yang sesuai untuk membaca, bantuan sokongan sosial dalam pencarian bahan rujukan. Selain itu kemudahan asas seperti laluan khas, tandas OKU, tempat letak kereta khas antara yang turut disediakan buat masa ini.


Pelajar OKU juga turut mengisi masa lapang mereka dengan menganggotai Kelab Mahasiswa OKU UMS. Cara ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka merangka aktiviti yang bersesuaian, bertukar pandangan dan fikiran serta menyumbang idea kepada PPOKUMS bagi mempertingkatkan kemudahan prasarana dan emosi.


Kebajikan pelajar OKU turut tidak dipinggirkan dengan penyediaan kemudahan kolej kediaman mesra OKU. Kolej Kediaman Tun Fuad buat masa ini telah dijadikan Kolej berpusat bagi menempatkan pelajar OKU.

Warga OKU UMS


Pandemik Covid-19 yang melanda negara hampir lebih satu tahun tidak menghalang pelajar OKU UMS menunjukkan kecemerlangan. Ini dibuktikan apabila dari 4,038 orang graduan UMS tahun 2020, 10 daripadanya merupakan OKU.


Pecahan Pelajar OKUMS mengikut kecacatan

Seorang graduan telah dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Psikologi dan Pendidikan manakala 9 lagi graduan memperoleh Ijazah Sarjana Muda.


Sesi Akademik 2020/2021 UMS mencatat sejumlah 44 orang pelajar OKU di peringkat pengajian Prasiswazah dan Pascasiswazah. Mereka ini mengambil jurusan dalam pelbagai bidang pengajian yang ditawarkan di UMS.


Warga OKU UMS dalam golongan kakitangan pula terdiri seorang yang menjawat jawatan Profesor Madya dalam bidang sejarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, tiga lagi berkhidmat dalam pentadbiran UMS.

Aktiviti Tingkat Kesedaran dalam kalangan warga UMS



PPOKUMS turut menyediakan pelbagai aktiviti bagi membantu warganya lebih empati terhadap warga OKU UMS. Antara aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang tahun penubuhannya dengan cara norma baharu ialah Jerayawara ke Pusat, Jabatan-jabatan, fakulti, institut dan bahagian (JFPIB).


Latihan seperti Disablity Awareness Training turut diberikan kepada Disability Liason Officer yang telah dilantik di setiap JFPIB, dengan harapan mereka dapat membantu PPOKUMS mengendalikan OKU dan memberikan input kemudahan OKU yang diperlukan. Ini penting bagi memastikan keperluan warga OKU UMS ini berada pada tahap terbaik.


Selain itu, perbincangan bersama para warga OKUMS dan badan pertubuhan buka kerajaan (NG) yang peduli OKU sering dilakukan dalam memberikan perkhidmatan yang mesra OKU di UMS.


Bagi melestarikan perkhidmatan OKU di UMS, dana penyelidikan telah disalur kepada kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Profesor Madya Dr Muhammad Ideris Hj Bullare, Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial. Kajiaan ini kelak diharap dapat membantu UMS membuat penambahbaikan yang berterusan. Pengurusan UMS di bawah kepimpinan Naib Canselor, Datuk Chm Ts Dr Taufiq Yap Yun Hin akan terus komited mendukung dan memastikan dasar Iklusif OKU di IPT 2018 dan Akta OKU 2008 dijayakan sepenuhnya.


Artikel ini ditulis oleh Dr Norhuda Salleh Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat) Pusat Pengurusan Stratergik dan Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Sabah dan Dr Zaiton Mohamad Pengarah Pusat OKU Universiti Malaysia Sabah.

Ruang laluan OKU (ramp) di Dewan Kuliah Pusat 2, Universiti Malaysia Sabah.

Comments


bottom of page