top of page

UMS Perkasa Pendedahan Awal STEM Murid Sekolah Di Membakut

  • nabalunews
  • 33 minutes ago
  • 2 min read

20 Januari 2026


KOTA KINABALU: Usaha Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam memperkukuh pendedahan awal terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terus diperkasakan menerusi penganjuran Program STEM@SK Kg Brunei, Membakut baru-baru ini.


Program yang melibatkan seramai 71 murid Tahun Empat hingga Enam di SK Kg Brunei itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Professor@SchoolUMS sempena Program STI 100³ Tahun 2026 anjuran U-Science, UMS.


Program yang mendapat kerjasama Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UMS itu antara lain bertujuan mendekatkan golongan akademik universiti dengan komuniti sekolah khususnya di kawasan luar bandar.

Menerusi program tersebut, Pensyarah Program Kimia Industri FST UMS, Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Mohd Sani Sarjadi telah menyampaikan ceramah siri pertama yang membawakan tajuk “Wow! Ini Semua Kimia Rupanya!”.


Menggunakan pendekatan interaktif, bahan visual menarik serta bahasa mudah difahami murid sekolah rendah, beliau menjelaskan kimia sebenarnya sangat dekat dengan kehidupan seharian walaupun sering dianggap sebagai mata pelajaran yang sukar dan abstrak.


“Malah kimia sebenarnya bermula daripada aktiviti harian seperti memberus gigi, mandi, makan sehinggalah penggunaan teknologi moden.


“Kimia bukan hanya di makmal, sebaliknya wujud dalam hampir setiap aspek kehidupan seharian,” katanya semasa sesi ceramah tersebut.


Sepanjang sesi itu, murid didedahkan kepada pelbagai contoh aplikasi kimia termasuk dalam bahan kebersihan diri, makanan harian, proses dalam tubuh badan, fenomena alam sekitar serta teknologi moden bagi membantu mereka memahami bahawa kimia sentiasa wujud di sekeliling.


Beliau turut menekankan bahawa pemahaman asas kimia mampu memupuk pemikiran saintifik, kemahiran berfikir kritis serta rasa ingin tahu dalam kalangan murid melalui proses bertanya dan membuat pemerhatian.


Mohd Sani turut menyentuh isu penggunaan plastik sekali guna dan kewujudan mikroplastik yang berpotensi memberi kesan kepada kesihatan manusia serta alam sekitar, selain menekankan kepentingan amalan pengurangan penggunaan plastik dan kitar semula sejak usia muda.


Beliau juga menarik perhatian murid terhadap penggunaan bahan pewarna dalam makanan ringan, sambil menegaskan kepentingan membuat pilihan makanan secara sederhana dan berhemah berdasarkan pemahaman sains asas.


Program itu turut dihadiri Pengarah U-Science UMS Md Sazali Md Salleh serta mendapat sokongan pihak pentadbiran sekolah dan barisan guru dalam memastikan kelancaran pelaksanaannya.


Secara keseluruhan, Program STEM@SK Kg Brunei Membakut berjaya menyemai minat murid terhadap bidang STEM melalui pendekatan pembelajaran yang santai, menyeronokkan dan interaktif, selari dengan aspirasi melahirkan generasi celik sains serta berdaya saing pada masa hadapan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page