UMS Perkukuh Inovasi dan Daya Saing Melalui Dua Inisiatif Strategik
- nabalunews
- 25 minutes ago
- 2 min read

27 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh komitmen terhadap inovasi, daya saing dan pembangunan bakat melalui pelancaran Kluster SDG-ESG bersama Anugerah Impak Kelestarian UMS serta Sistem MyKompetensi 2.0 bersama UMS Leadership Talent.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, kedua-dua inisiatif itu akan menjadi pemangkin kepada pembudayaan kecemerlangan universiti, selaras dengan aspirasi Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025–2035.
Beliau berkata pelancaran Kluster SDG-ESG bersama Anugerah Impak Kelestarian adalah langkah strategik dalam menerajui agenda kelestarian sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Anugerah itu akan mengiktiraf pencapaian yang memberi impak nyata kepada pemeliharaan alam sekitar, pemerkasaan masyarakat, serta pelaksanaan tadbir urus terbaik.
“Sementara itu, Sistem MyKompetensi 2.0 dan UMS Leadership Talent pula akan memperkukuh pembangunan modal insan dengan memberi tumpuan kepada pengiktirafan telus, pemetaan bakat serta pelan penggantian kepimpinan yang terancang.
“Langkah ini memastikan kesinambungan universiti sentiasa diterajui oleh pemimpin berwawasan, berintegriti dan berprestasi tinggi,” katanya.
Abdul Rahman menambah bahawa kedua-dua inisiatif tersebut selaras dengan Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan meritokrasi, peningkatan kemahiran berterusan dan budaya kerja berprestasi tinggi.
“UMS mesti bergerak seiring dengan dasar tersebut melalui pelaksanaan MyKompetensi, MyPerformance dan MyPotensi.
“Kejayaan kita bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi melalui keupayaan memperkenalkan pendekatan baharu, memanfaatkan teknologi terkini, dan menghasilkan penyelidikan yang memberi impak nyata kepada masyarakat dan negara,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Universiti (AKU) UMS 2025, pada Selasa.
Menurut beliau, aspirasi PPTM 2025–2035 memberi hala tuju jelas kepada universiti awam untuk memperkukuh budaya inovasi, meningkatkan daya saing serta melahirkan graduan yang relevan dengan keperluan global, seiring agenda Malaysia MADANI.
“Sebagai universiti awam, kita berdepan persaingan yang semakin sengit bukan sahaja dengan institusi dalam negara, tetapi juga universiti terkemuka dunia.
“UMS perlu menembusi pasaran pengetahuan global, membina rangkaian strategik, dan muncul sebagai peneraju idea serta penyelesaian,” katanya.
Dalam masa yang sama, Abdul Rahman merakamkan penghargaan kepada seluruh warga universiti yang sentiasa komited dalam menjayakan agenda kecemerlangan UMS.
Katanya, pengiktirafan dan pembangunan bakat adalah pemangkin kepada warga untuk terus berkhidmat dengan dedikasi, integriti dan iltizam tinggi.
Turut hadir, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Raman Noordin serta Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.