UMS Raikan 533 Warga Universiti dalam Majlis AKU 2025
- nabalunews
- 7 hours ago
- 1 min read

28 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah meraikan 533 kakitangan dan pesara dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Universiti (AKU) 2025, sebagai bentuk penghargaan atas dedikasi dan sumbangan mereka dalam menjayakan agenda kecemerlangan universiti.
Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, penganugerahan itu adalah simbol penghargaan universiti terhadap dedikasi dan jasa kakitangan yang menjadi tulang belakang kejayaan institusi.
“Setiap penerima anugerah adalah contoh teladan kepada warga UMS. Pengiktirafan ini bukan sekadar penghargaan, tetapi inspirasi untuk terus berkhidmat dengan integriti dan inovasi,” katanya.

Majlis berprestij tersebut meraikan penerima anugerah dalam lapan kategori utama, antaranya Anugerah Jasamu Dikenang, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Sanjungan Budi, Anugerah Jasa Setia, Anugerah Jasa Bakti, Anugerah Inovasi, Anugerah Khas Naib Canselor dan kategori baharu, Anugerah Mutiara.
Majlis AKU 2025 dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan di The Klagan Regency 1Borneo, Kota Kinabalu baru-baru ini.
Pada majlis berkenaan, seramai 1,695 kakitangan turut menerima Anugerah Perkhidmatan Terpuji (APT) berbentuk e-sijil kerana mencapai markah prestasi tahunan 90 peratus dan ke atas.
Pusat Pengajian Pascasiswazah dinobatkan sebagai Johan bagi Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik manakala Pusat Alumni UMS menerima pengiktirafan Johan Anugerah Transformasi Digital.
Hadir sama adalah Ahli Lembaga Pengarah UMS, Profesor Dr. Baba Musta; Timbalan Naib Canselor (Penyelidkan dan Inovasi), Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly, Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar serta Bendahari UMS, Datuk Badrul Hisham Ismail.
Majlis tersebut turut menampilkan konsep pengurusan moden yang ditekankan Naib Canselor melalui penerapan “Efficient Frontier”, iaitu strategi penggunaan sumber universiti secara optimum merangkumi sumber manusia, teknologi dan sistem penyampaian.
Comments