UMS Teruskan Komitmen Dekatkan Ilmu kepada Masyarakat
- nabalunews
- 52 minutes ago
- 2 min read

19 Disember 2025
BELURAN: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan komitmen tinggi universiti dalam merakyatkan ilmu pengetahuan melalui program sains, teknologi dan inovasi (STI) yang dilaksanakan secara inklusif di seluruh Sabah.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata usaha mendekatkan ilmu kepada masyarakat merupakan sebahagian daripada tanggungjawab institusi pendidikan tinggi dalam menyokong agenda Malaysia Madani.
“UMS sentiasa komited untuk mendekatkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat, seiring aspirasi Malaysia MADANI serta misi universiti untuk memupuk budaya inovasi dan kreativiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program STI Madani Peringkat Daerah Beluran 2025 yang merupakan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama UMS.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin.
Program itu menjadi antara platform utama memperluas literasi STI dalam kalangan pelajar dan komuniti setempat.
Pelbagai aktiviti pengisian seperti bengkel robotik, Bicara Kanta U-Science, Drone Challenge, pertunjukan sains dan pameran pendidikan disediakan bagi menarik minat generasi muda terhadap STEM.

Menurut Kasim, pendekatan pembelajaran yang bersifat interaktif dan menyeronokkan mampu meningkatkan minat serta pemahaman pelajar terhadap bidang sains dan teknologi.
“Penganjuran bengkel, pameran, ceramah, pertandingan dan sesi perkongsian pada hari ini membuktikan kesungguhan kita dalam membuka ruang pembelajaran yang lebih inklusif dan menyeronokkan.
“UMS turut melaksanakan pelbagai program berasaskan STI seperti Professor@School, PER-Sense, STEM4U@UMS, STEM Speaker Series dan Bicara Kanta U-Science yang telah memberi impak ketara kepada masyarakat, terutama di kawasan luar bandar,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama pelbagai pihak amat penting dalam memastikan program seumpama itu memberi peluang pembelajaran yang meluas serta mencapai sasaran penyertaan.
“Saya berharap agar Program STI Madani Peringkat Daerah Beluran 2025 menjadi titik tolak kepada pengukuhan budaya sains dan inovasi, terutamanya generasi muda yang akan memimpin masa hadapan,” ujarnya.
Pada penganjuran di Beluran, seramai tiga sekolah menengah dan 11 sekolah rendah menyertai program, dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah Beluran dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Beluran/
Program tersebut merupakan aktiviti penganjuran U-Science UMS yang terakhir pada tahun 2025 dengan penyertaan seramai 550 peserta.














