top of page

Undi Belia Penentu Masa Depan Sabah

  • nabalunews
  • 7 minutes ago
  • 2 min read

ree

26 November 2025


KOTA KINABALU: Pemimpin muda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Allison Chan, mengingatkan golongan belia bahawa undi mereka merupakan kuasa besar dalam menentukan masa depan Sabah.


Beliau berkata statistik menunjukkan lebih 45 peratus pengundi berdaftar terdiri daripada golongan muda, sekali gus menjadikan mereka kelompok penentu atau kingmaker dalam keputusan pilihan raya kali ini.


Namun, katanya, kuasa belia terhakis dengan persepsi beranggapan “satu undi tidak membawa perubahan”.


“Ramai berfikir bahawa satu undi tidak membawa perubahan. Tetapi apabila beribu-ribu orang muda berkongsi tanggapan yang sama, kuasa kita hilang begitu sahaja,” katanya.


“Dalam pilihan raya kali ini, kita mampu menjadi suara yang akan menentukan masa depan Sabah,” katanya.


Dalam masa sama, Allison turut menegur sikap segelintir belia yang bersikap tidak peduli terhadap politik, sedangkan kehidupan mereka dipengaruhi secara langsung oleh dasar kerajaan.


“Realitinya, hampir semua aspek kehidupan berkait rapat dengan politik antaranya biasiswa, peluang melanjutkan pelajaran, peluang pekerjaan, pembangunan kampung dan akses internet,” ujarnya.


Beliau berkata ramai anak muda Sabah cemerlang, namun kemajuan negeri yang masih perlahan mengekang peluang mereka untuk membina masa depan yang lebih baik.


Sikap tidak ambil peduli, katanya, hanya menyebabkan keadaan sedia ada terus berkekalan tanpa perubahan.


Allison turut menyentuh nasib ribuan anak Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia yang tidak dapat pulang mengundi kerana kekangan kewangan serta ketiadaan kemudahan undi pos, menjadikan tanggungjawab pengundi di negeri ini semakin penting.


“Kita bukan hanya mengundi untuk diri sendiri, tetapi juga untuk mereka yang tidak mampu pulang, demi masa depan Sabah dan perubahan yang kita semua nantikan,” jelasnya.


Menurutnya, realiti yang dihadapi Sabah adalah “pedih tetapi benar”, apabila negeri yang kaya sumber masih bergelut dengan pelbagai kekangan pembangunan, peluang untuk belia yang terhad dan bakat-bakat besar yang terbantut kerana ruang pertumbuhan yang tidak mencukupi.


Sehubungan itu, beliau menggesa belia Sabah untuk menggunakan kuasa undi mereka dan keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.


“Kalau bukan kita yang memilih perubahan, tiada siapa akan melakukannya untuk kita. Undi kita bukan kecil, ia adalah kuasa yang mampu menentukan hala tuju Sabah,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page