Undi Parti Lokal, Tolak Parti Luar? Pengundi Sabah Perlu Bijak Memilih

15 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, pengundi sekali lagi disajikan dengan naratif “undi parti lokal, tolak parti luar” yang kembali hangat diperkatakan di media massa dan media sosial.
Slogan berunsur sentimen seperti “Sabah for Sabahan” kembali digunakan oleh parti-parti tempatan bagi meraih sokongan, dengan mesej bahawa mengundi parti lokal bermakna memperjuangkan autonomi negeri serta kebebasan daripada pengaruh parti Semenanjung.
Penyelidik GeOPES Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Haryati Abdul Karim bagaimanapun berkata, taktik memainkan sentimen anti-parti luar ini bukanlah perkara baharu dan perlu dilihat secara berhati-hati oleh pengundi.
“Naratif ini bukan kali pertama digunakan. Ia diulang dengan wajah baharu, namun hakikatnya, Sabah tidak boleh berdiri sendiri tanpa hubungan atau kerjasama dengan kerajaan Persekutuan atau parti nasional,” katanya.
Beliau berkata, tindakan beberapa parti tempatan seperti Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) baru-baru ini turut dikaitkan dengan isu “parti lokal vs parti luar”.
STAR, misalnya, mengeluarkan hantaran di laman Facebook rasmi dengan mesej “Rumah Kita, Kita Jaga. Kunci Rumah, Kita Pegang”, sebagai simbolik kepada hasrat untuk melihat Sabah ditadbir sepenuhnya oleh parti tempatan.
Namun, kata Dr. Haryati, pendirian itu kelihatan berubah apabila Presiden STAR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan mengumumkan penubuhan pakatan baharu “Gerakan Sabah Baharu” yang tetap terbuka untuk bekerjasama dengan parti dari Semenanjung.
Berbeza dengan Parti Warisan, Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula menegaskan bahawa Warisan akan kekal mesra kerajaan Persekutuan jika diberi mandat memerintah negeri.
Dr. Haryati menjelaskan bahawa kedua-dua pendirian tersebut menunjukkan kesedaran bahawa Sabah memerlukan kerjasama rentas sempadan politik demi pembangunan negeri.
“Realitinya, Sabah memerlukan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan untuk mempercepat pembangunan infrastruktur dan meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.
Menurut beliau lagi, pengundi perlu memahami bahawa isu sebenar Sabah bukan soal parti luar atau tempatan, tetapi persoalan asas seperti pembangunan, kemiskinan, pekerjaan dan infrastruktur yang masih membelenggu negeri itu.
“Masalah bekalan air, elektrik, jalan raya yang rosak, serta kadar kemiskinan yang masih tinggi adalah isu utama rakyat Sabah, bukannya soal siapa parti tempatan atau luar,” ujarnya.
Beliau turut memetik laporan Jabatan Perangkaan Malaysia 2024 yang menunjukkan 30.8 peratus isi rumah di Sabah berpendapatan antara RM2,000 hingga RM3,999 sebulan, manakala hanya 5.3 peratus mencatat pendapatan antara RM10,000 hingga RM11,999.
“Kadar kemiskinan yang tinggi ini menyebabkan rakyat Sabah paling banyak menggunakan bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Ini mencerminkan cabaran ekonomi sebenar yang dihadapi,” jelasnya.
Selain itu, katanya, peluang pekerjaan yang terhad juga memaksa ramai graduan Sabah berhijrah ke Semenanjung untuk mencari rezeki yang setimpal dengan kelayakan mereka.
“Sudah tiba masanya Sabah mempunyai sistem pengangkutan awam yang efisien dan bersepadu, seperti sistem komuter di Kuala Lumpur, bagi menyokong mobiliti ekonomi rakyat,” tambah beliau.
Mengulas lanjut, Dr. Haryati berkata, pengundi Sabah kini menanti tawaran-tawaran konkrit daripada parti-parti yang bakal bertanding mengenai usaha meningkatkan pendapatan, pekerjaan, dan pembangunan negeri.
“Apa yang rakyat perlukan sekarang ialah kepimpinan yang mempunyai visi dan misi yang jelas, pragmatik, berani dan mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa slogan seperti “Sabah for Sabahan” kini semakin kurang relevan dalam konteks semasa kerana rakyat lebih memerlukan solusi nyata terhadap isu sosioekonomi dan infrastruktur.
“Pengundi Sabah harus bijak memilih. Mereka sudah merasai pemerintahan parti lokal sepenuhnya, parti nasional dan juga gabungan kedua-duanya. Kali ini, pilihan harus dibuat berdasarkan keupayaan, bukan sentimen,” tegasnya.
Katanya lagi, pengundi wajar menilai mana-mana parti yang mampu menawarkan pakej pembangunan yang realistik, inklusif dan berpandangan jauh bagi membawa Sabah ke arah kemajuan tanpa menjejaskan hubungan dengan kerajaan Persekutuan.
“Matlamat utama adalah menjadikan Sabah sebuah negeri yang progresif dan makmur dengan kepimpinan yang mampu mentadbir secara adil dan berkesan,” katanya.















Comments