ESSCOM berjaya laksana 5.2 juta pemeriksaan fizikal sejak 2020
- nabalunews
- Mar 23
- 2 min read

23 Mac 2025
TAWAU: ESSCOM berjaya melaksanakan 5.2 juta pemeriksaan fizikal terhadap individu, bot dan kenderaan sejak Januari 2020 hingga 28 Februari tahun ini, selaras prinsip 'Tiada Hari Tanpa Operasi'.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam tempoh sama, ESSCOM turut berjaya menahan 1,907 individu dan merampas 1,118 kenderaan serta bot atas pelbagai kesalahan dianggarkan bernilai hampir RM90 juta.
Katanya, nilai rampasan tertinggi adalah daripada penyeludupan barang kawalan dan tidak bercukai berjumlah RM55 juta, manakala selebihnya melibatkan rampasan dadah dan barang milik Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dengan nilai keseluruhan RM34.4 juta.
“Pada tempoh itu juga, ESSCOM turut mengusir 1,890 PATI bersama-sama 294 buah kapal atau bot yang cuba masuk secara haram melalui kawasan sempadan perairan negara.
"Kejayaan ini adalah hasil ikhtiar ESSCOM yang bertindak sebagai koordinator dalam operasi-operasi keselamatan di ESSZone,"katanya.
Beliau berkata demikian pada program Penerapan Nilai-nilai Murni dan Ihya Ramadan bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun ke-12 ESSCOM di Masjid Al-Falah Kg Baru Pasir Putih, semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Datuk Ruji Ubi; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN, Datuk Makhzan Mahyuddin; Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Polis Datuk Victor Sanjos; Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali dan ADUN N.70 Kukusan, Datuk Rina Jainal.
Dalam ucapannya juga, Saifuddin turut menyeru masyarakat agar sentiasa berwaspada dan bekerjasama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
Katanya, ini kerana soal keselamatan merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama erat di antara Kerajaan, pasukan keselamatan dan masyarakat setempat.
"Dengan suasana yang lebih stabil dan selamat, saya percaya kita dapat membina komuniti lebih maju dan sejahtera, sekaligus memastikan Tawau dan kawasan ESSZone menjadi tempat yang makmur untuk semua,"katanya.
Terdahulu pada program berkenaan, seramai 30 golongan asnaf dan anak yatim menerima sumbangan Bakul Rahmah RT Cares.
Comentarios