UPKO Bandau Sokong Ewon Sebagai Ketua Menteri Sabah Pasca PRN-17
- nabalunews
- 3 days ago
- 2 min read

7 September 2025
KOTA MARUDU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Bandau menyuarakan keyakinan penuh terhadap presiden parti, Datuk Ewon Benedick dinamakan sebagai Ketua Menteri Sabah selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Sokongan itu disampaikan oleh Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) UPKO DUN N6 Bandau, Suzie Salapan, yang menekankan rekod kepimpinan Ewon membuktikan keupayaan memimpin negeri dengan telus, berintegriti dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Suzie berkata, pendekatan Ewon yang sentiasa merendah diri dan dekat dengan masyarakat menjadikannya seorang pemimpin yang berbeza.
Katanya, Ewon tidak pernah menjauhkan diri daripada rakyat, sebaliknya menjadikan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam agenda pembangunan negeri.
“Ia selaras dengan keperluan Sabah yang memerlukan seorang pemimpin berjiwa rakyat dan memiliki keupayaan strategik dalam membawa negeri ke arah kemajuan seimbang.
“Di peringkat DUN Kadamaian, pembangunan pesat dalam aspek kemudahan asas, pengembangan peluang ekonomi dan peningkatan taraf hidup masyarakat luar bandar jelas memperlihatkan keupayaan Ewon mengurus sumber dengan baik,” katanya.
Suzie berkata, begitu juga di Parlimen Penampang, walaupun baru lebih dua tahun, pendekatan Ewon yang kerap turun padang dan segera bertindak terhadap keluhan rakyat telah memberi kesan positif yang nyata.
“Rekod perkhidmatannya di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyerlahkan komitmen Ewon dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin rakyat.
“Malah, ketika tiada program rasmi kementerian, beliau tetap memilih untuk turun ke lapangan bagi meninjau dan mendengar permasalahan masyarakat.
“Kini, menerajui Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Ewon terus menunjukkan keupayaan melalui pelbagai dasar yang menyokong pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memperkukuh koperasi luar bandar serta memperluas akses pembiayaan usahawan,” katanya.
Menurut Suzie, kejayaan-kejayaan itu membuktikan Ewon mempunyai visi jelas, kemampuan pengurusan yang mantap serta keikhlasan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.
“Oleh itu, UPKO Bandau sebulat suara mencadangkan agar beliau diberi mandat untuk menerajui Sabah sebagai Ketua Menteri selepas PRN-17,” katanya.
Comments