top of page

UPKO Beluran Sambut Baik Belanjawan Madani 2026 – Felix Joseph Saang

  • nabalunews
  • Oct 13
  • 2 min read

ree

13 Oktober 2025


TELUPID: Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Beluran, Felix Joseph Saang, menyambut baik pembentangan Belanjawan Madani 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memperuntukkan perbelanjaan besar bagi negeri Sabah serta kawasan luar bandar.


Felix berkata, peruntukan keseluruhan pembangunan sebanyak RM6.9 bilion kepada Sabah, termasuk peningkatan kadar Pemberian Khas di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada RM600 juta, menunjukkan keprihatinan kerajaan Madani terhadap keperluan rakyat negeri ini.


“UPKO Beluran menyambut baik keprihatinan kerajaan Madani dalam memastikan Sabah terus menerima perhatian sewajarnya.


“Ia bukan sekadar sokongan dari segi pembangunan infrastruktur, tetapi juga kesejahteraan masyarakat luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Felix turut menzahirkan penghargaan terhadap tumpuan yang diberikan kepada projek infrastruktur utama seperti Lebuh Raya Pan Borneo, projek Talian Elektrik Southern serta naik taraf bekalan air luar bandar yang akan memberi manfaat langsung kepada ribuan isi rumah khususnya di kawasan pedalaman Sabah.


“Masalah air dan elektrik masih membelenggu sebahagian kawasan di Sabah, termasuk di daerah Telupid dan daerah Beluran.


“Peruntukan khas untuk menaik taraf sistem air dan tenaga luar bandar amat dinantikan oleh rakyat di negeri ini,” katanya.


Felix yang juga merupakan Ketua Pemuda UPKO Pusat berkata, pelaksanaan projek pembangunan luar bandar seperti jalan perhubungan desa, penyediaan kemudahan asas serta program penambahbaikan ekonomi komuniti akan membawa perubahan besar kepada taraf hidup penduduk luar bandar sekiranya dilaksanakan dengan telus dan efisien.


“Kerajaan harus memastikan setiap projek yang diumumkan benar-benar dilaksanakan di lapangan. Keberkesanan pelaksanaan amat penting agar manfaat belanjawan ini sampai kepada golongan sasaran.


“Namun begitu, UPKO akan terus memperjuangkan pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh di Sabah, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


“Perjuangan ini bukan semata-mata soal politik, tetapi soal keadilan untuk rakyat Sabah. Ia merupakan hak yang perlu dihormati dan dilaksanakan agar Sabah benar-benar menikmati hasil daripada sumbangan ekonominya sendiri,” katanya lagi.


Felix menjelaskan, pelaksanaan hak berkenaan akan memberi kesan positif kepada pembangunan negeri dan memperkukuh keupayaan kerajaan negeri dalam merancang pembangunan jangka panjang.


“Dengan kedudukan kewangan yang lebih stabil, kerajaan negeri akan dapat mempercepatkan pembangunan luar bandar, membuka lebih banyak peluang ekonomi, serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di seluruh Sabah,” ujarnya.


Menurutnya, UPKO kekal komited untuk menjadi suara rakyat Sabah dalam memperjuangkan keadilan, pembangunan seimbang serta penghormatan terhadap hak negeri di bawah MA63, seiring dengan matlamat Kerajaan Madani yang inklusif dan progresif.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page