UPKO Beluran Terima Hampir 100 Borang Keahlian Baharu
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

22 Julai 2025
TELUPID: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Beluran, menerima hampir 100 ahli baharu dalam satu majlis ringkas sempena perjumpaan bersama ahli-ahli Pusat Daerah Mengundi (PDM) Nangoh, semalam.
Majlis penyerahan borang keahlian disempurnakan dalam suasana penuh semangat dan komitmen terhadap perjuangan parti yang sekaligus memberikan suntikan semangat kepada jentera parti di peringkat akar umbi.
Ketua Bahagian UPKO Beluran, Felix Joseph Saang berkata, penerimaan ahli baharu itu menandakan sokongan dan keyakinan yang semakin meningkat daripada penduduk setempat terhadap perjuangan dan prinsip yang dibawakan Parti UPKO.

Katanya, beliau juga merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada jentera PDM Nangoh atas usaha berterusan mendekati masyarakat serta menarik minat golongan baharu untuk bersama dalam wadah perjuangan parti.
“Penyertaan seramai hampir 100 ahli baharu ini merupakan satu petanda positif bahawa UPKO semakin mendapat tempat di hati rakyat.
“Ini bukan sekadar angka, tetapi bukti kepercayaan masyarakat terhadap perjuangan UPKO yang berlandaskan prinsip progresif untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.

Felix yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Pusat berkata, UPKO Beluran akan terus mempergiat usaha turun padang, menyantuni rakyat dan memperkukuhkan struktur organisasi di setiap peringkat bagi memastikan parti terus relevan.
Katanya, UPKO Beluran juga dan bersedia menghadapi sebarang cabaran politik mendatang, khususnya dalam persediaan menuju pilihan raya akan datang.
“Program kali ini turut diserikan dengan sesi dialog dan libat urus antara pemimpin dan ahli-ahli PDM Nangoh, di mana pelbagai isu dan aspirasi masyarakat setempat dibangkitkan dan dibincangkan secara terbuka.
“Perjumpaan seperti ini amat penting kerana ia membuka ruang komunikasi dua hala antara kepimpinan bahagian dan akar umbi.
“Suara rakyat dari kawasan seperti Nangoh inilah yang akan membentuk dasar dan hala tuju perjuangan kita,” katanya.
Menurutnya, penyertaan ahli baharu dari PDM Nangoh ini dijangka akan memperkukuh lagi keutuhan jentera parti di kawasan Telupid, selaras dengan aspirasi UPKO untuk terus menjadi parti yang membela nasib dan meneraju perjuangan rakyat.