UPKO cadang kerusi Parlimen Kota Belud ditambah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO cadang kerusi Parlimen Kota Belud ditambah


Ewon (dua dari kiri) ketika mempengerusikan mesyuarat itu.

12 September 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud mencadangkan agar kerusi Parlimen Kota Belud ditambah apabila kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya dilaksanakan di negeri ini pada tahun 2025.


Naib Presidennya yang juga Ketua Bahagian UPKO Kota Belud Datuk Ewon Benedick berkata, ini penting memandangkan kawasan Parlimen Kota Belud amat luas dan penduduk yang ramai.


“Upko mencadangkan supaya Parlimen Kota Belud dipecahkan kepada dua parlimen iaitu Kadamaian dan Kota Belud. Ini juga selaras dengan komitmen kerajaan persekutuan untuk menyemak semula jumlah wakil Sabah dan Sarawak dalam Parlimen.



“Saya juga bersetuju dengan langkah mendapatkan semula 35 peratus kerusi Parlimen seperti yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini,” katanya.


Beliau berkata demikian selepss mesyuarat UPKO Kota Belud, di Pejabat khidmat Adun Kadamaian, di sini, hari ini.


Baru-baru ini, Perdana Menteri memberi komitmen bahawa kerajaan akan memberi perhatian terhadap isu berbangkit di Sabah dan Sarawak, termasuk berkaitan jumlah wakil di dua negeri itu di Parlimen.


Mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, walaupun PRU15 mungkin tidak diadakan tahun ini namun parti-parti gabungan Pakatan Harapan (PH) mengadakan persiapan awal dari segi pembahagian kerusi seterusnya mengenlpasti calon yang sesuai.

bottom of page