UPKO Kota Belud Perkukuh Perhubungan Antara Kaum di DUN Tampasuk
- nabalunews
- Mar 6
- 1 min read

6 Mac 2025
KOTA BELUD : Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum (CLC) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tampasuk berjaya mengadakan mesyuarat penting di kediaman Ketua Cawangan UPKO Kampung Rosok, Kasim Buliwan pada 1 Mac 2025 yang lalu.
Mesyuarat yang berlangsung dengan kehadiran seramai 25 pemimpin itu bertujuan memperkukuh jalinan antara cawangan serta meningkatkan sokongan terhadap parti di peringkat akar umbi.
Antara pemimpin yang turut hadir dalam pertemuan ini ialah Ketua Cawangan UPKO Kampung Bugaron, Azmi Abdullah; Ketua Cawangan Kampung Gontuong, Saralapon; Ketua Cawangan Kampung Bambangan, Majikun Galing; Ketua Cawangan Kampung Ginapas Rosok, David Sikok; Ketua Cawangan Kampung Simbulon, Niur Kubit; serta Ketua Penaja Cawangan Kampung Rantai Rosok, Rajiim Simpon.

Selain itu, mesyuarat turut disertai ahli-ahli dari bahagian Pemuda dan Wanita UPKO di peringkat cawangan. Mereka hadir dengan semangat untuk terus memperkuatkan sokongan parti di kawasan masing-masing.
Menurut Ketua Perhubungan UPKO DUN Tampasuk dan Pintasan, Adlan Kuluput, antara ketetapan utama yang dipersetujui dalam mesyuarat ini adalah usaha untuk memperkukuhkan setiap cawangan, memastikan kesinambungan sokongan terhadap UPKO, serta memperluaskan pengaruh parti UPKO di kawasan Tampasuk.
Menurutnya lagi, langkah ini sebagai persiapan sekiranya terdapat penambahan kawasan Parlimen di Kota Belud pada masa akan datang.
"Pertemuan ini penting bagi merapatkan hubungan antara pemimpin akar umbi serta mewujudkan strategi yang lebih tersusun dalam memastikan UPKO terus relevan dalam landskap politik negeri Sabah, apatah lagi UPKO diketuai oleh Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang sememangnya dikenali dengan hasil kerja mantap serta aura kepimpinan tinggi", tambah beliau.
Dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan, UPKO terus komited dalam memperjuangkan kepentingan rakyat di kawasan DUN Tampasuk dan Kota Belud secara keseluruhannya.
Comments