UPKO Kudat Lancar Jentera Pilihan Raya di Dua Kawasan PDM dengan Komitmen Padu
- nabalunews
- 9 minutes ago
- 2 min read

8 Jun 2025
KUDAT: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kudat telah melaksanakan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pandan Mandamai dan PDM Pinapak pada 7 Jun 2025 bertempat di perkarangan kediaman Joseph Bonduk di Kampung Mandamai.
Program tersebut menghimpunkan seramai 150 petugas pilihan raya daripada kedua-dua kawasan terlibat. Pelancaran rasmi telah disempurnakan oleh Ketua Bahagian UPKO Kudat merangkap Timbalan Setiausaha Agung UPKO Malaysia, Junsim Rumunzing.
Turut hadir Pengarah Jentera Pilihan Raya UPKO Kudat, Innocent Lasimbang, Ketua Generasi Muda (GEM) UPKO, Riezol Sidu, Ketua PDM Pandan Mandamai, Daniel Mosikul; Ketua PDM Pinapak, Saul Mosikul; serta barisan Ahli Jawatankuasa Bahagian UPKO Kudat.

Dalam ucapan pelancarannya, Junsim menekankan bahawa pelaksanaan majlis ini adalah manifestasi komitmen dan kesiapsiagaan UPKO dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang. Beliau menyatakan bahawa kekuatan jentera akar umbi merupakan kunci utama kejayaan parti dalam mendepani cabaran politik semasa.
“Pelancaran ini menandakan kesungguhan kita untuk bergerak secara tersusun, berstrategi dan berintegriti dalam membawa aspirasi rakyat ke medan demokrasi,” katanya.
Salah satu pengisian utama majlis adalah penyerahan buku daftar pemilih oleh Innocent kepada Ketua PDM Pandan Mandamai dan Ketua PDM Pinapak. Penyerahan tersebut melambangkan penyerahan amanah dan tanggungjawab kepada kepimpinan di peringkat PDM dalam memastikan gerak kerja parti dapat dilaksanakan secara efisien.

Innocent menekankan bahawa data pemilih yang lengkap dan tepat merupakan asas penting dalam pengurusan kempen yang berkesan. Beliau juga menyeru seluruh petugas untuk terus bekerjasama erat dan menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab serta profesionalisme.
Kedua-dua Ketua PDM turut menyatakan penghargaan terhadap kepercayaan yang diberikan serta menjelaskan bahawa mereka kini bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan amanah tersebut demi kejayaan parti di peringkat lokal.
Dengan terlaksananya pelancaran ini, UPKO Bahagian Kudat telah memperkukuh struktur organisasinya di peringkat akar umbi, sekali gus memperlihatkan kesediaan parti untuk tampil lebih proaktif dan efektif dalam mendepani medan pilihan raya yang akan datang.
Comentarios