UPKO Lahad Datu Intai Satu Kerusi DUN pada PRN Kali Ini
- nabalunews
- Sep 28
- 1 min read

28 September 2025
LAHAD DATU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Lahad Datu mengesahkan hasrat untuk bertanding di satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen P188 Lahad Datu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Penerangan UPKO Lahad Datu, Saudi Osman berkata langkah itu merupakan kali pertama parti berkenaan mengintai peluang di zon Pantai Timur Sabah, sekali gus menandakan perkembangan baharu dalam strategi politik UPKO.
“UPKO tampil dengan tekad membawa suara baharu dan pilihan terbaik demi memastikan rakyat di Pantai Timur mendapat wakil yang benar-benar dekat dengan denyut nadi mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sokongan masyarakat di akar umbi semakin kukuh berdasarkan tinjauan dan sesi libat urus yang dijalankan.
Malah katanya, parti juga yakin mempunyai asas yang kuat untuk menawarkan khidmat di peringkat DUN.
“Kehadiran UPKO di kawasan ini dilihat mampu memperkukuhkan keseimbangan politik dalam Pakatan Harapan (PH), selain memberikan representasi lebih luas kepada masyarakat tempatan.
“Selepas melalui proses penjenamaan semula sebagai Parti Progresif, UPKO telah mengenal pasti kawasan DUN yang akan ditandingi, termasuk calon yang bakal diketengahkan.
“Calon yang dikenal pasti merupakan seorang anak tempatan dari kawasan berkenaan dan diyakini mampu membawa aspirasi rakyat dengan lebih dekat,” jelasnya.
Tambahnya, hasrat itu dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bahagian dan menerima sokongan penuh sebulat suara, sekali gus mencerminkan aspirasi kolektif kepimpinan dan ahli parti, bukan kehendak individu tertentu.
UPKO optimis bahawa jika diberikan ruang dan peluang, parti berkenaan mampu menawan kawasan Pantai Timur dengan gagasan politik baharu yang lebih inklusif, progresif, dan berpaksikan kepentingan rakyat.


















Comments