UPKO LIBARAN, NGO BIG HEART SUMBANG BUKU LATIHAN DAN PELITUP MUKA KEPADA MURID B40
- Wartawan Nabalu News
- Apr 8, 2021
- 2 min read
Updated: Apr 9, 2021

8 April 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Libaran bersama NGO Big Heart menyampaikan sumbangan Bantuan Buku Latihan dan Pelitup Muka kepada murid daripada keluarga B40 dari dua buah kampung kawasan Libaran.
Ketua UPKO Bahagian Libaran Dr.Peter Jr.Naintin berkata, para penerima bantuan itu adalah murid pra-sekolah dan pelajar Tingkatan 6 dari Kg.Jaya Bakti, Batu 36 seramai 30 murid, Kg.Sg Memanjang, Batu 36 (128 orang) dan kawasan Bandar Sandakan seramai 22 orang murid.
Beliau berkata, ini merupakan inisiatif berterusan yang dijayakan oleh UPKO Libaran bersama NGO Big Heart sejak tiga tahun lalu.

"Usaha sama ini adalah satu pelayanan untuk penduduk di kawasan Libaran dan Sandakan dengan memberikan bantuan Buku Latihan kepada pelajar B40," katanya.
Dr.Peter berkata, pada bulan ini, UPKO Libaran menyalurkan bantuan yang sama kepada murid B40 di Kota Marudu melalui kolaborasi bersama badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan itu.
Katanya, pada masa masa yang sama, Program Motivasi Modal Insan B40 turut dijalankan untuk membantu keluarga dan murid sekolah dalam aktiviti pembelajaran mereka.
"Ramai ibu bapa yang datang bersama-sama untuk memberikan semangat kepada anak-anak mereka melalui program tahunan ini.
"Berdasarkan data dari Kementerian Pendidikan, kita mempunyai jumlah pelajar seramai lebih 500,000 di Sabah. Lebih kurang 45,000 merupakan pelajar Tingkatan 5 yang menduduki SPM.
"Bagaimanapun, kami mendapat maklumat bahawa kira-kira 45 peratus sahaja daripada jumlah pelajar SPM itu yang dapat meneruskan pembelajaran di institusi pengajian tinggi.
"Besar kemungkinan, sebahagian daripada pelajar ini tidak berminat atau tidak mendapat peluang untuk meneruskan pembelajaran disebabkan pelbagai perkara termasuk faktor kelayakan dan kewangan," katanya.
Dr.Peter berkata, pihaknya berusaha untuk memberikan kesedaran dan perkongsian maklumat kepada ibubapa dan murid B40 bahawa kejayaan dalam pendidikan dan kemahiran boleh dicapai serta dapat memperbaiki kedudukan ekonomi mereka pada masa hadapan.
"Saya juga merupakan salah seorang pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan tinggal di rumah kongsi di atas air sejak tahun 1980-an lagi.
"Namun, atas kesedaran bahawa pendidikan amat penting dalam membentuk kehidupan yang lebih baik, saya berusaha dengan gigih dengan sokongan keluarga dalam menghabiskan pendidikan sehingga mendapat Ijazah Doktor Falsafah.
"Saya dan pasukan bersama-sama menyokong sebarang inisiatif dalam pembangunan modal insan yang dapat menghasilkan tenaga kerja professional dan mahir dalam membangunkan negeri Sabah.
"Kami juga mengalu-alukan bantuan dan derma daripada masyarakat setempat untuk menyalurkan bantuan kewangan dan tenaga untuk generasi muda kita di Libaran," katanya.















Comments