UPKO mahu pendekatan baharu dan segar: Nelson
7 Februari 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berhak menyatakan hasratnya untuk bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Setiausaha Agung UPKO Datuk Nelson W Angang berkata, beliau pasti semua parti politik mahu perkara yang sama walaupun belum menyatakannya.
“Datuk Ewon (Presiden UPKO) menyatakan pandangan dan cadangannya kepada mana-mana pihak atau gabubgan politik yang mungkin berfikir untuk bekerjasama dengan Upko dan Pakatan Harapan (PH).
“Sekurang-kurangnya UPKO jujur dan menjelaskan niatnya. Senario politik semasa dalam negara dan Sabah sesuatu yang sangat baru dan unik di mana kita mempunyai Kerajaan Perpaduan.
“Pendekatan baharu dan segar perlu dibuat sekiranya terdapat hasrat parti lain untuk membentuk gabungan pada PRN akan datang,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Nelson berkata, keikhlasan membentuk sebuah kerjasama atau gabungan politik datang daripada kejujuran bakal rakan kongsinya.
“Jika ada pihak yang masih berpegang kepada pemikiran lama bahawa satu pihak boleh mendominasi dan membuat keputusan bersendirian tanpa mengendahkan pandangan pihak lain dalam kerjasama atau gabungan tersebut maka bersedialah untuk menghadapi kepupusan.
“Memang benar UPKO hanya memenangi 1 daripada 12 kerusi yang ditandinginya dalam pilihan raya negeri Sabah yang lalu di mana kita menentang Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.
“GRS tidak wujud ketika itu. Ramai telah meramalkan ia akan menjadi pengakhiran bagi UPKO,” jelas beliau.
Katanya lagi, memenangi dua kerusi Parlimen bersama PH pada pilihan raya umum lalu adalah sesuatu yang ramai tidak percaya mampu dilakukan oleh UPKO, namun ada yang melihat pencapaian ini hasil kebijaksanaan kepemimpinan UPKO dalam membuat suatu keputusan untuk memilih rakan kongsi yang tepat dan menjadi sebahagian daripada PH.
“Jika ada pihak tidak menghormati satu parti dalam gabungan seperti PH maka anda tidak menghormati parti lain dalam gabungan ini.
“Presiden UPKO tepat dalam mencadangkan pendekatan baharu dan segar dalam rundingan kerusi di kalangan rakan gabungan yang berpotensi.
“Jika ada sebilangan yang tidak bersetuju dengan cadangan itu dan merasakan bahawa mereka lebih baik, maka anda boleh membuat keputusan untuk sama ada memilih pasangan lain atau pergi sendiri dan bertanding di semua kerusi. Lagipun ini adalah demokrasi,” katanya.
Comments