UPKO MOHON SERTAI GRS
- nabalunews
- 20 minutes ago
- 1 min read

29 Mei 2026
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini mengemukakan permohonan menjadi parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick mengetuai delegasi parti tersebut mengada pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga merupakan Pengerusi GRS dan seterusnya menyampaikan permohonan tersebut.
Ewon menyatakan, UPKO mahu menyumbang kepada penyatuan dan kerjasama parti-parti tempatan Sabah bagi memperkukuh usaha membangunkan masa depan Sabah serta memperjuangkan hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Wawasan Sabah First yang diperjuangkan oleh UPKO adalah bersesuaian dengan perjuangan GRS melalui Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 yang mesti diperkukuh melalui kerjasama lebih erat dan penyatuan parti-parti tempatan Sabah,” katanya.
Ewon menyatakan mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO pada 25 Mei yang lepas sebulat suara bersetuju memohon menjadi parti komponen GRS.











