Upko PDM Gaur mahu transisi kepimpinan induk jadi agenda mesyuarat agung parti
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Upko PDM Gaur mahu transisi kepimpinan induk jadi agenda mesyuarat agung parti


Ewon menerima resolusi mesyuarat cawangan-cawangan UPKO Mukim Gaur.

18 Februari 2022

Oleh Mark Gilbert


KOTA BELUD: Cawangan-cawangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) di Mukim Gaur Kadamaian mahu agar transisi kepimpinan induk menjadi agenda dalam mesyuarat agung tritahunan parti itu samada di peringkat Bahagian atau Pusat.


Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gaur-Gaur, Jaintin Molondoi menyatakan bahawa agenda tersebut perlu dibincang dan dirumuskan terutama selepas banyak pemimpin dan ahli telah bertindak keluar parti.

Ewon menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada cawangan-cawangan UPKO.

Beliau turut mencadangkan agar Naib Presiden UPKO yang juga ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick agar mengambil serius saranan akar umbi parti mengenai keperluan transisi kepimpinan dan menyahut cabaran memainkan peranan lebih besar menerajui parti tersebut.


“Selama ini Ewon sering memberitahu beliau menghormati kekananan pemimpin parti, tetapi akar umbi yang prihatin mengenai kedudukan dan masa depan parti merasakan masa ini sesuai untuk membincangkan transisi kepimpinan. Saya juga banyak mendengar saranan ahli-ahli UPKO di kawasan lain. Mereka juga berkongsi mengenai perkara yang sama,” katanya.

Ewon ketika berucap.

Jaintin yang juga merupakan mantan Ketua Daerah Kadamaian menyatakan demikian semasa kunjungan Ewon ke Mukim Gaur-Gaur bagi mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin akar umbi di mukim tersebut.


Sementara itu, Ewon dalam ucapannya menyatakan kesediaan mengangkat saranan ahli-ahli akar umbi parti mengenai perkara tersebut.


“Selaku pemimpin, saya perlu mengambil pendekatan bottom-up dalam mengangkat perkara-perkara sebegini. Jika ada saranan daripada akar umbi, di Kadamaian dan Bahagian-Bahagian UPKO yang lain, maka kepimpinan parti harus berbincang secara rasional saranan tersebut.

Ewon menyampaikan sumbangan kepada Gereja SDA Kg Gaur Morou.

“Saya percaya ada mekanisme mengenai transisi kepimpinan parti ini. Yang paling mustahak adalah memastikan parti UPKO terus relevan dan dapat menarik minat penyertaan rakyat. Tanpa sokongan rakyat, parti ini tidak boleh bertahan dalam pilihanraya yang akan datang.


“Saya mengambil konsep kepimpinan itu di Kadamaian. Kalau saya sudah tidak lagi diterima oleh rakyat di Kadamaian, maka saya harus menyerahkan baton kepada pemimpin yang baharu. Saya seorang yang realistik dan percaya terlalu lama dalam kepimpinan akan menyebabkan rakyat bosan terutama apabila kita tidak lagi berupaya menjana minat atau sokongan mereka,” katanya.


Dalam ucapannya juga, Ewon turut memberi penjelasan pendirian beliau kekal bersama parti walaupun dihubungi rakan-rakan dalam blok kerajaan untuk menyertai parti mereka.


Bersempena dengan program tersebut, Ewon turut menyampaikan sumbangan 60 bakul makanan kepada isirumah memerlukan di cawangan masing-masing serta sumbangan sebanyak RM3000 kepada Gereja Adventist Kg Gaur Morou untuk pembaikan yang diperlukan.

bottom of page