UPKO Penampang berusaha cari dana bantu baik pulih sistem paip graviti Kg. SugudUPKO Penampang berusaha cari dana bantu baik pulih sistem paip graviti Kg. Sugud
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO Penampang berusaha cari dana bantu baik pulih sistem paip graviti Kg. Sugud


Carl (kanan) menyampaikan sumbangan Upko untuk baikpulih sistem paip graviti Kg.Sugud.

21 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Penampang akan berusaha mencari dana membantu menyiapkan pembaikpulihan sistem paip air graviti Kg. Sugud yang rosak teruk akibat banjir baru-baru ini.


Timbalan Ketua Bahagian UPKO Penampang Carl Moosom berkata, anggaran kos untuk membina satu tapak atau sumber bekalan air paip graviti kira-kira RM80,000.


“Keperluan untuk membaikpulih satu paip graviti Kg. Sugud RM80,000 dan difahamkan tiga tapak air graviti di kampung itu mengalami kerosakan teruk, tapi buat masa ini kita hanya bantu satu daripadanya.


“Setakat ini sebanyak RM57,000 berjaya dikumpul hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk pihak gereja, badan-badan bukan kerajaan (NGO), individu dermawan termasuk RM50,000 daripada artis yang juga youtuber terkenal Adam Shamil,” katanya ketika dihubungi Nabalu News, hari ini.


Sehubungan itu Carl menyeru orang ramai dan NGO teruskan usaha membantu, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi bekalan paip dan keperluan-keperluan berkaitan.


“Pada hari ini saya mewakili UPKO Pusat menyumbang bantuan kewangan kepada pengerusi belia penduduk kampung yang menganjurkan pembinaan pemulihan sistem paip graviti untuk Kg. Kodou Sugud.


“Dalam usaha yang sama sebelum ini kita juga telah memohon kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah untuk peruntukan dana projek kilat yang mendesak bagi pembinaan sistem paip graviti.


“Berdasarkan maklumat yang diberi oleh Pejabat Pegawai Daerah Penampang permohonan melalui Whatsapp itu telahpun diterima dan sedang dalam proses untuk penjanaan peruntukan,” katanya.


Beliau berharap bantuan daripada pihak kerajaan dapat membantu melengkapi keperluan penduduk kampung itu dan sekitar Sugud.


“Pihak UPKO difahamkan penduduk kampung membuat keputusan untuk melaksanakan sendiri pembaikan sistem paip graviti disebabkan keperluan harian dan kebanyakkan sistem perparitan musnah akibat banjir maka penggunaan tandas dan dapur menyukarkan hidupan harian.


“Oleh itu, kami berharap, dana ini dapat menampung sedikit sebanyak perbelanjaan mereka untuk membaiki sistem paip graviti,” katanya.


Carl berkata, sebagai alternatif penduduk kawasan Sugud bergantung kepada bantuan air yang disumbangkan pelbagai pihak termasuk UPKO.


“Sehingga hari ini UPKO dan NGO yang lain masih menghantar bantuan air minuman dalam botol besar dan kecil untuk kegunaan penduduk kampung.


“Malangnya saya difahamkan mereka bukan saja menggunakan air itu untuk minuman tetapi juga untuk memasak, mandi dan kegunaan lain,” katanya.


Beliau berkata, dianggarkan sebanyak 300 keluarga kampung berkenaan terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini.


Carl berkata, selain bantuan air minuman, UPKO juga menyampaikan sumbangan baju-baju terpakai untuk penduduk kampung.


Pada hari ini UPKO Penampang menyerahkan sumbangan RM1500 kepada Ketua Penganjur pemulihan sistem paip graviti Kg. Sugud.


Setakat ini kumpulan ini telah mengguna sebanyak RM57,000 peruntukan yang telah diserahkan melalui tabung kutipan daripada Gereja Lady Assumption Catholic Sugud.

bottom of page