top of page

UPKO Penampang: Hasrat Bertanding Berlandas Iltizam Perjuangan

  • nabalunews
  • Jul 1, 2025
  • 1 min read

1 Julai 2025


KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Penampang menjelaskan hasrat bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N26 Moyog pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang adalah berlandaskan iltizam dan amanah perjuangan parti terhadap rakyat kawasan itu.


UPKO Penampang dalam kenyataan berkata, pengumuman pencalonan Naib Presiden parti itu, Datuk Donald Peter Mojuntin, baru-baru ini adalah langkah awal menyambut harapan rakyat Moyog yang mahukan kepimpinan berpengalaman, dekat dengan rakyat dan memiliki sejarah perjuangan untuk Sabah.


“UPKO adalah parti tempatan Sabah, dipimpin oleh anak-anak Sabah yang memahami budaya, keperluan serta harapan rakyat negeri ini,” menurut kenyataan itu.


UPKO turut menegaskan penyertaan dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) tidak bermaksud parti itu kehilangan identiti.


Ia sebaliknya strategi untuk memperkukuh suara Sabah di peringkat nasional, khususnya bagi memperjuangkan hak negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


UPKO berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan bantahan daripada rakan komponen PH berhubung pengumuman tersebut, namun yakin semangat muafakat dalam gabungan itu tetap menjadi asas penting menghadapi PRN ke-17.


“Pengumuman pencalonan Donald itu bukan suatu tindakan unilateral atau meminggirkan rakan komponen PH.


“Kami percaya perbincangan dan rundingan akan berlaku secara matang dan penuh hormat demi kemenangan bersama,” katanya.


UPKO turut menegaskan bahawa parti itu berpegang teguh kepada prinsip 'Sabah for Sabahan' dan telah membina serta mempertahankan hak Sabah secara konsisten sejak penubuhannya.


Sehubungan itu, UPKO menyeru rakyat Moyog agar memperkukuh perpaduan komuniti dan semangat Momogun dalam menghadapi pilihan raya akan datang.


“Kita perlukan wakil rakyat yang bukan hanya dikenali, tetapi benar-benar memahami, berjuang, dan sentiasa bersama rakyat dalam susah dan senang.


“Kami sedia bertanding dan berkhidmat serta sedia membawa suara Moyog ke peringkat negeri dan persekutuan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page