UPKO Perkukuh Hubungan Erat Bersama SJA Menerusi Sukan Bola Sepak
- nabalunews
- Jan 16
- 2 min read

16 Januari 2026
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) terus memperkukuh hubungan erat bersama pengamal media menerusi penganjuran perlawanan bola sepak persahabatan yang berlangsung di Stadium Likas, di sini, malam tadi.
Perlawanan yang menyaksikan pertembungan antara pasukan Exco Pergerakan Pemuda UPKO menentang pasukan Persatuan Wartawan Sabah (SJA) berlngsung dalam suasana penuh muhibah dan semangat kesukanan.
Ia sekali gus mencerminkan hubungan baik yang terjalin antara parti politik itu dan rakan-rakan media tempatan.

Ketua Pemuda UPKO Nasional, Felix Joseph Saang berkata, tujuan penganjuran perlawanan ini bukan sahaja sebagai aktiviti sihat yang menggalakkan gaya hidup aktif, malah menjadi platform santai untuk merapatkan silaturahim.
Katanya, ia turut mengukuhkan kerjasama serta mempertingkatkan persefahaman antara UPKO dan pihak media.
“Media memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan seimbang kepada masyarakat, justeru hubungan yang erat dan saling menghormati perlu sentiasa dipelihara.

“Melalui program seperti ini, kita dapat berinteraksi dalam suasana yang lebih santai dan terbuka, sekali gus mengukuhkan lagi kepercayaan serta kerjasama antara kedua-dua pihak,” menurut satu kenyataan.
Felix berkata, penganjuran aktiviti seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh jaringan kerjasama bersama media demi kepentingan rakyat dan pembangunan Sabah.
Pengerusi Biro Sukan dan Rekreasi SJA, Fardy Bungga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Exco Pemuda UPKO atas inisiatif menganjurkan perlawanan bola sepak persahabatan bersama warga media.
Katanya, program ini akan menjadi platform berkesan untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh kerjasama strategik antara UPKO dan rakan-rakan media.
“Semoga hubungan baik ini terus diperkasakan demi penyampaian maklumat yang telus, seimbang dan berkesan kepada masyarakat
Sementara itu, perlawanan yang berlangsung dengan penuh semangat kesukanan itu menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga sebelum berakhir dengan keputusan seri 3-3.


















Comments