UPKO PERLU TUNJUKKAN ‘NICHE’ TERSENDIRI UNTUK TAMBAT HATI RAKYAT: EWON
19 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Para pemimpin Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) perlu menunjukkan "niche" atau jenama parti yang baik untuk menjadi sebuah parti peneraju rakyat akar umbi yang mengutamakan kepentingan rakyat.
Bagi merealisasikan wawasan itu, Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, parti itu perlu mencari kelainan yang lebih menjurus kepada "mesra rakyat" dan bukan mengutamakan atau dikuasai golongan elit.
Beliau berkata, kecelaruan pentadbiran kerajaan hari ini berpunca daripada pencaturan politik golongan elit politik yang sudah sekian lama berada dalam arena kepimpinan tetapi tidak lagi mendengar denyutan nadi rakyat.
“Kalau kita serius menjadikan parti kita sebagai peneraju perjuangan rakyat, ia boleh dilaksanakan tetapi parti lain pun begitu juga, mereka berjuang untuk rakyat. Justeru Upko perlu mencari kelainan yang tiada dalam parti lain.
“Upko perlu seimbangkan antara perjuangan dasar-dasar parti dan perkhidmatan rakyat akar umbi, terutamanya dalam keadaan krisis pandemik Covid ketika ini, rakyat memerlukan pembelaan bukan setakat polisi dan penambahbaikan dasar-dasar kerajaan,” katanya.
Ewon berkata demikian ketika ditanya apa peranan Upko selaku peneraju perjuangan rakyat negeri Sabah dan Persekutuan semasa Webinar melalui Zoom bertajuk “Peneraju Perjuangan Rakyat: Siri ke-2”, pada malam Ahad.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, ketika ini, rakyat menghadapi pelbagai masalah termasuk kekurangan sumber pendapatan, kehilangan pekerjaan dan masalah perniagaan.
“Rakyat memerlukan bantuan bakul makanan dan para pelajar pula menghadapi masalah dari segi PdPR. Ada diantara mereka tidak dapat mengikuti pembelajaran secara online kerana ketiadan peralatan, tiada talian telekomunikasi atau terpaksa berkongsi telefon bimbit atau laptop dengan adik-beradik lain atau kawan-kawan … semuanya memerlukan pembelaan kita.
“Dari segi kesihatan pula, kita boleh berkempen agar lebih ramai rakyat termasuk keluarga dan ahli-ahli parti menerima vaksin supaya kita boleh mewujudkan imunisasi berkelompok.
“Bagi mereka yang diberhentikan pekerjaan, kehilangan sumber pendapatan dan perniagaan terjejas tetapi terpaksa membayar pinjaman juga perlu dipermudahkan dan ini semua perlukan perhatian kita,” katanya.
Beliau berkata, untuk menjadi sebuah parti peneraju rakyat, UPKO perlu melihat dahulu masalah ahli-ahlinya sebelum melihat perkara yang lebih besar, kerana ramai ahli UPKO yang memerlukan bantuan.
“Contohnya bakul makanan, semasa saya menjadi sebahagian daripada Kabinet Negeri Sabah program pengagihan bantuan bakul makanan ketika itu sangat rancak dilaksanakan oleh Pejabat-pejabat UPPM di 60 kawasan seluruh Sabah dan di kawasan Kadamaian sahaja, ada yang tiga kali menerima bantuan ketika itu, semua dapat,” katanya.
Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah itu berkata, kerajaan negeri hari ini juga mengumumkan lebih RM30 juta untuk bantuan bakul makanan tetapi hanya yang tersenarai dalam e-kasih, kuarantin wajib dan bersasar sahaja yang diberikan.
“Ramai tidak tersenarai dalam e-kasih, ada penduduk kampung yang tidak dikuarantin tetapi mereka juga menghadapi masalah kerana pergerakan terbatas, tiada dapat mencari rezeki dan kehilangan punca pendapatan tetapi tiada bantuan makanan diberikan. Ini perbezaan antara pendekatan kita (kerajaan terdahulu) dan kerajaan hari ini,” katanya.
Sehubungan itu katanya, Upko selaku parti yang pernah berada dalam Kabinet negeri Sabah boleh mengimbangi dan memainkan peranan semak dan imbang.
“Di peringkat kita sendiri (Upko) jika tidak dapat bantu semua, kita mulakan dengan ahli-ahli kita yang betul-betul memerlukan. Kita ada Biro Kebajikan yang boleh bekerjasama dengan banyak pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) atau rakan strategik lain.
“Di Kadamaian, saya bekerjasama dengan beberapa NGO dan minggu ini ada sekumpulan NGO akan menghantar bakul makanan ke Pusat Khidmat Adun Kadamaian selain saya sendiri mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membantu mereka yang menguhubungi kita kerana mereka sangat memerlukan bantuan seumpama ini maka kita perlu berkorban,” katanya.
Beliau berkata, walaupun UPKO kini berada di luar kerajaan namun, parti itu masih boleh bekerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan terutamanya pejabat kesihatan dan polis di peringkat daerah untuk mengawal kampung yang dimasukkan dalam PKPD dan membantu menjayakan kempen vaksinasi.
“Saya fikir dalam keadaan krisis seperti ini, memang wajar kita perlu bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan. Kita tidak boleh bekerja secara bersendirian untuk membela rakyat,” katanya.
Ewon berkata, semua perkara itu perlu diambil kira jika Upko mahu dilihat sebagai sebuah organisasi yang memperlihatkan peneraju perjuangan rakyat.
Comentários