UPKO Ranau Hulur Bantuan kepada Mangsa Kebakaran di Kundasang
- nabalunews
- Mar 18
- 1 min read

17 Mac 2025
KUNDASANG: Prihatin terhadap nasib para penjaja yang terjejas akibat kebakaran, United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO) Ranau turun padang untuk menyampaikan bantuan kewangan bagi meringankan beban mangsa terlibat.
Ketua Bahagian UPKO Ranau, Georgina George yang mewakili Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Persatuan Penjaja Gerai Sayur Kundasang, Mariana Taliban.
Georgina berkata, sumbangan itu merupakan inisiatif UPKO yang prihatin terhadap kesukaran dihadapi peniaga yang kehilangan tempat mencari rezeki.
Katanya, bantuan iti adalah sebahagian daripada komitmen parti untuk membantu masyarakat yang memerlukan, terutamanya mereka yang terkesan akibat bencana seperti kebakaran.
"Kami amat bersimpati dengan nasib penjaja yang mengalami kerugian akibat kebakaran ini, semoga sumbangan yang disampaikan dapat sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka, sementara mereka berusaha untuk bangkit semula," katanya.
Dalam kejadian kebakaran Khamis lalu menyebabkan lapan premis, termasuk tiga buah kedai runcit, dua inap desa, sebuah blok rumah sewa yang mengandungi 11 pintu, serta sebuah stor penyimpanan barang runcit musnah sepenuhnya.
Georgina turut menyeru pihak berwajib agar mempercepatkan proses pembinaan semula premis-premis yang terjejas bagi memastikan para penjaja dapat kembali menjalankan perniagaan mereka dalam tempoh yang sesingkat mungkin.
Sementara itu, Mariana Taliban selaku Pengerusi Persatuan Penjaja Gerai Sayur Kundasang menyatakan penghargaan kepada UPKO dan semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan.
"Kami amat berterima kasih kepada UPKO atas keprihatinan mereka. Dengan bantuan ini, kami berharap dapat segera memulihkan keadaan dan kembali berniaga seperti biasa," katanya.
Comments