UPKO SAMBUT BAIK KEPUTUSAN MAHKAMAH BENARKAN PENGGUNAAN PERKATAAN "ALLAH" UPKO SAMBUT BAIK KEPUTUSAN MAHKAMAH BENARKAN PENGGUNAAN PERKATAAN "ALLAH"
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO SAMBUT BAIK KEPUTUSAN MAHKAMAH BENARKAN PENGGUNAAN PERKATAAN "ALLAH"


(Dari kiri ke kanan) Donald, Madius dan Ewon.

11 Mac 2021


Keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan arahan kerajaan pada tahun 1986 memang amat dialu-alukan yang akhirnya meredakan suasana dan isu mengenai larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama Kristian.


Isu ini menjadi perhatian ramai rakyat Malaysia dan telah menimbulkan kontroversi dan perdebatan selama bertahun-tahun. Apa yang menyedihkan ialah isu ini telah dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu sebagai sesuatu yang menyentuh sensitiviti dan hak-hak kaum serta agama tertentu yang mana sebenarnya lebih bersifat undang-undang dan isu perlembagaan. Keputusan terbaharu oleh Mahkamah Tinggi ini berdasarkan dalihan atau fakta undang-undang dan harus diterima oleh semua pihak.



Ia memang menepati aspirasi rakyat Sabah yang mahu kebebasan beragama dilindungi seperti yang termaktub dalam 'Penubuhan Batu Sumpah Malaysia'. Mahkamah akhirnya mengiktiraf aspirasi yang amat penting ini.


Kami berharap kenyataan yang dibuat oleh Muafakat Nasional yang mendesak kerajaan Persekutuan supaya mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu adalah berdasarkan alasan undang-undang dan bukan memainkan sentimen kaum dan agama tertentu untuk meraih keuntungan politik atau mengukuhkan lagi kekuatan Muafakat Nasional.


Apa yang lebih merisaukan ialah fakta bahawa UMNO dan PAS merupakan sebahagian daripada kerajaan Persekutuan dan timbul persoalan adakah Jabatan Peguam Negara di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri, dalam memutuskan sama ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu berdasarkan pengamatan mereka secara bebas atau berdasarkan merit undang-undang yang digunapakai oleh Hakim terbabit. Kami berharap keputusan yang baik dan tegas akan terserlah sebagai menghormati keputusan Mahkamah Tinggi.



UPKO sentiasa berjuang untuk melindungi hak perlembagaan setiap rakyat negara ini tanpa mengira bangsa dan agama. Kami percaya bahawa rasa hormat, toleransi dan belas kasihan merupakan amalan murni masyarakat kita dan Malaysia akan lebih maju apabila rakyat kita bersatu dalam hal ini. Pemimpin dan anggota UPKO di seluruh negara bergabung dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dalam mendoakan keharmonian dan kedamaian yang berterusan di bumi kita ini.


Wilfred Madius Tangau

Ahli Parlimen Tuaran

Presiden UPKO


Donald Mojuntin

Senator

Timbalan Presiden UPKO


Ewon Benedick

Ahli Majlis Kadamaian

Naib Presiden UPKO


bottom of page