top of page

UPKO Sambut Baik Keputusan Mahkamah Tinggi Sabah Berhubung Hak 40 Peratus Hasil Negeri

  • nabalunews
  • Oct 17
  • 2 min read

ree

17 Oktober 2025


KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Sabah yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS) dalam kes berkaitan hak perlembagaan Sabah untuk menerima 40 peratus hasil Persekutuan yang diperoleh dari negeri ini.


Setiausaha Agung UPKO, Senator Datuk Nelson W. Angang berkata, keputusan itu mengiktiraf hak yang termaktub di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, yang menjadi sebahagian penting daripada semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Katanya, keputusan itu membuktikan kedaulatan undang-undang di Malaysia masih kukuh dan mencerminkan komitmen berterusan terhadap prinsip-prinsip yang terkandung dalam MA63.


“UPKO turut menzahirkan penghargaan kepada Sabah Law Society (SLS) atas keberanian membawa kes ini ke mahkamah, yang kini membuka ruang kepada pembaharuan dasar dan hubungan ekonomi yang lebih adil antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan.


“Keputusan ini bukan sahaja kemenangan kepada SLS, tetapi juga kemenangan moral kepada rakyat Sabah yang sekian lama menuntut pengiktirafan penuh terhadap hak perlembagaan negeri di bawah MA63,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, keputusan itu disifatkan sebagai detik bersejarah dalam perjuangan Sabah untuk mendapatkan semula hak-hak perlembagaannya dan bukti bahawa sistem kehakiman negara masih menjadi wadah berwibawa untuk menegakkan keadilan dan memastikan janji perlembagaan dipenuhi.


Katanya, UPKO, menghormati sepenuhnya proses kehakiman dan percaya keputusan ini memberi isyarat jelas kepada Kerajaan Persekutuan agar menunaikan tanggungjawab perlembagaannya terhadap Sabah.


“Ini bukan sekadar isu politik atau teknikal, tetapi hak rakyat Sabah yang dijamin oleh Perlembagaan.


“Keputusan Mahkamah Tinggi ini memberi kelegaan besar kepada rakyat Sabah selepas hampir setengah abad tanpa semakan semula yang sewajarnya terhadap hak 40 peratus hasil negeri.


“Perjuangan untuk hak Sabah bukan hanya soal kewangan, tetapi juga soal maruah, keadilan, dan kedudukan sebenar Sabah dalam Persekutuan Malaysia,” tegasnya.


Nelson berkata, UPKO konsisten memperjuangkan pelaksanaan penuh hak-hak Sabah di bawah MA63 tanpa kompromi, dan keputusan ini mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap usaha menegakkan keadilan untuk Sabah.


Sementara itu, Nelson menggesa kerajaan negeri yang bakal dibentuk selepas ini agar lebih proaktif dalam rundingan berkaitan perkara-perkara lain di bawah MA63 supaya hasilnya benar-benar mencerminkan kepentingan rakyat Sabah dan bukan sekadar simbolik semata-mata.


Katanya, begitu juga dengan Peguam Negara Persekutuan disarankan supaya tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, hari ini.


“Kita tidak mahu rundingan ini sekadar menjadi satu lagi proses atas kertas. UPKO menyeru kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan supaya berunding dengan telus, profesional dan adil, berlandaskan semangat keadilan sebenar.


“UPKO kekal komited menjadi suara rakyat, memastikan setiap hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan MA63 terus dipertahankan,” katanya.


“Ini bukan soal politik, ini tentang masa depan negeri kita,” tegasnya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page