UPKO sokong calon Perdana Menteri dari parti berbilang kaum: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO sokong calon Perdana Menteri dari parti berbilang kaum: Ewon


Ewon (empat dari kanan) dan Jamil (tiga dari kanan)

9 September 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA MARUDU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyokong calon Perdana Menteri daripada parti berbilang kaum di negara ini, kata Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick.


Beliau berkata, UPKO percaya dasar-dasar dan tadbir urus kerajaan akan menjadi lebih inklusif dan progresif jika Perdana Menteri datang daripada parti berbilang kaum dan memimpin gabungan parti-parti berbilang kaum.


Selain itu katanya, calon Perdana Menteri haruslah komited kepada agenda reformasi tadbir urus negara yang progresif serta menjayakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai asas perpaduan nasional.



“Asas-asas tersebut merupakan sebab kenapa UPKO membuat keputusan untuk menganggotai Pakatan Harapan (PH) pada tahun lepas kerana mahu menyumbang kepada tadbir urus negara melalui gabungan parti-parti yang berbilang kaum,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tri-Tahunan UPKO Bahagian Kota Marudu di sini, hari ini.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, secara peribadi beliau mahu melihat tadbir urus negara pasca Covid bersifat needs-based atau berasaskan keperluan, bukanlah berasaskan perkauman.


“Saya juga percaya bahawa pemupukan perpaduan nasional haruslah bermula dengan pelaksanaan Perjanjian Malaysia yang menjadi asas kepada pembentukan negara ini.


Ewon memalu gong sebagai simbolik perasmian penutupan mesyuarat itu.

"Sebab itu UPKO menyokong calon Perdana Menteri daripada kepimpinan Pakatan Harapan, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika ini merupakan Pengerusi gabungan.


“UPKO akan terus memberi pandangan-pandangan kepada Majlis Presiden PH bagaimana rakyat Malaysia di Borneo harus menjadi agenda besar dalam menjayakan sokongan ini," katanya.


Beliau turut menyatakan bahawa Pakatan Harapan mempunyai calon Perdana Menteri yang jelas dan berwibawa berbanding dengan gabungan parti-parti yang lain.


"Perikatan Nasional mungkin sudah mempunyai calon Perdana Menteri yang terkait dengan prestasi kurang memberangsangkan terutama apabila menutup demokrasi semasa pandemik Covid-19.


“Barisan Nasional pula masih bercelaru mengenai calon Perdana Menteri, manakala Gabungan Rakyat Sabah pula tidak mungkin menamakan calon Perdana Menteri mereka sendiri," katanya.


Ewon turut menyatakan bahawa kepimpinan semasa Kerajaan Malaysia hari ini yang diketuai oleh Datuk Seri Ismail Sabri dan Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai sinergi yang dapat memberi inspirasi kepada Malaysia pasca Covid-19.


"Kita perlu re-set semula Malaysia dan saya percaya ini boleh dilaksanakan melalui sebuah gagasan nasional yang berpendekatan lokal atau desentralisasi perkhidmatan persekutuan. Inilah peranan UPKO dalam Pakatan Harapan," katanya.

bottom of page