UPKO: Suara Rakyat Sabah Mesti Diutamakan Dalam Pembaharuan Undang-Undang Jenayah Negara
- nabalunews
- Jun 12
- 2 min read

12 Jun 2025
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyokong penuh usaha Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Jenayah (CLRC) menyemak dan meminda undang-undang jenayah utama negara.
Bagaimanapun, proses reformasi undang-undang jenayah itu harus mengambil kira realiti kehidupan rakyat Sabah yang berdepan dengan pelbagai cabaran sosial, kapasiti sistem pemulihan yang terhad serta keperluan golongan rentan.
Untuk rekod, antara undang-undang yang terlibat termasuklah Kanun Keseksaan, Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Keterangan.
Bendahari Agung UPKO, Dennison R. Indang berkata, rakyat Sabah menolak pendekatan hukuman yang terlalu menghukum, terutamanya kepada golongan miskin dan terpinggir.
Katanya, hukuman yang dikenakan perlu lebih adil dan berperikemanusiaan, sebagai contoh kes seorang ibu mencuri susu untuk anak kecil tidak sepatutnya dihukum penjara.
“UPKO menyokong pengenalan hukuman alternatif seperti Perintah Khidmat Masyarakat (Community Service Orders) yang lebih membina serta memberi peluang kepada pesalah untuk memperbaiki diri.
“Undang-undang baharu perlu bersifat lebih inklusif dan sensitif kepada keperluan komuniti luar bandar, wanita, belia serta golongan berpendapatan rendah (B40),”katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Dennison berkata, pendekatan keadilan restoratif perlu menekankan pemulihan hubungan antara pesalah, mangsa dan masyarakat wajar dijadikan sebahagian daripada sistem perundangan yang progresif.
Dalam masa sama, Dennison turut menarik perhatian terhadap isu lebihan kapasiti penjara yang dihadapi Sabah ketika ini.
Katanya, reformasi undang-undang ini merupakan peluang penting untuk memperkenalkan sistem hukuman alternatif yang lebih lestari serta memberi impak jangka panjang dalam membantu pesalah kembali ke pangkuan masyarakat.
“Pelaksanaan reformasi ini tidak harus kekal sebagai perubahan dasar semata-mata, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berkesan oleh semua agensi berkaitan.
“Rakyat Sabah mahu melihat latihan, penyelarasan dan keberkesanan pelaksanaan oleh mahkamah, agensi penguatkuasaan serta institusi pemulihan supaya matlamat reformasi tercapai sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, UPKO akan terus memainkan peranan sebagai suara rakyat Sabah di peringkat negeri dan nasional agar reformasi undang-undang jenayah ini benar-benar mencerminkan kehendak serta keperluan masyarakat, bukan sekadar memenuhi tuntutan teknokrat.
“Sebagai sebuah parti yang berteraskan prinsip kemanusiaan, UPKO komited memperjuangkan sistem keadilan jenayah yang lebih adil, manusiawi dan relevan dengan cabaran semasa,” katanya.
Comments