UPKO SYOR KERAJAAN NEGERI BUAT DASAR SENDIRI TANGANI KEADAAN SEMASA
- Wartawan Nabalu News
- Jun 30, 2021
- 2 min read

30 Jun 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) mengesyorkan agar kerajaan negeri membuat dasar tersendiri yang berlainan dengan kerajaan pusat supaya lebih berkesan menangani keadaan semasa di negeri ini.
Ketika membuat gesaan itu, Presiden Upko Datuk Wilfred Madius Tangau berkata pendekatan seumpama itu tentunya selaras tuntutan rakyat di atas prinsip desentralisasi dalam urus tadbir kerajaan.
Beliau berkata, desentralisasi merupakan perjuangan rakyat jelata dan sebagai peneraju kepada perjuangan tersebut, Upko memberi sokongan dan kerjasama dalam apa juga langkah desentralisasi.
"Namun demikian pelaksanaan dasar baru seperti itu perlu ada koordinasi diantara semua pihak yang terlibat terutama kerajaan pusat. Ini kerana, penguatkuasaan dasar tersebut melibatkan agensi-agensi dan jabatan daripada kerajaan pusat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Madius berkata, langkah memperkenalkan dasar baru tanpa penyelarasan hanya membuatkan keadaan "berserabut" seperti sudah berlaku apabila PKP dijadualkan berakhir pada 28 Jun lepas.
"Kenapa tidak dibuat perancangan dan buat pengumuman lebih awal supaya para peniaga dapat bersedia dan agensi penguatkuasa juga dapat bersedia?
"Kerajaan Negeri dalam memperkenalkan dasar baru yang berlainan daripada kerajaan Pusat perlu membuat keputusan berdasarkan 'scientific reasons and data'.
"Selain itu perlu lebih bersedia dalam memaklumkan dan menjustifikasi keputusan tersebut kepada kerajaan pusat supaya tidak berlaku kekeliruan yang hanya menyusahkan rakyat jelata," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Madius turut mempersoalkan sama ada kerajaan Sabah masih bekerjasama dengan kerajaan pusat.
"Apakah kerajaan Sabah sekarang tidak lagi dapat bekerjasama dengan kerajaan pusat?
"Rakyat jelata sudah cukup pening sekarang ini. Pelbagai persoalan timbul menambah kekusutan dan ketidaktentuan," katanya.
katanya lagi, walaupun kes harian berkurangan namun ia bukan mengambarkan keadaan sebenar.
"Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sendiri sudah mengatakan bahawa Covid-19 sudah menjadi endemic dalam komuniti kita.
"Sebab itulah untuk memerangi Covid-19 Kerajaan Negeri perlu mengambil langkah-langkah untuk melibatkan secara langsung dalam program vaksinasi termasuk dalam perolehan vaksin yang kini menjadi punca utama kenapa kadar vaksinasi Sabah paling rendah di negara ini," katanya.
UPKO turut mengesa pihak berwajib supaya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dibuka untuk membolehkan Wakil-Wakil rakyat membahaskan isu-isu dasar semasa.















Comments