top of page

UPKO Tegas Perjuang Hak 40 Peratus Hasil Sabah – Madius

  • nabalunews
  • Nov 13
  • 2 min read

ree

13 November 2025


KOTA KINABALU: Keputusan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) keluar daripada Pakatan Harapan (PH) bukan berasaskan kepentingan politik, sebaliknya bagi memperjuangkan prinsip dan maruah rakyat Sabah berhubung pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih negeri.


Presiden Kehormat UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, UPKO kekal konsisten memperjuangkan isu berkenaan meskipun berdepan pelbagai tekanan dan alasan daripada pihak Kerajaan Persekutuan.


“Setiap kali UPKO menyuarakan isu ini, jawapan yang diberikan tetap sama. Pada 2023, Kerajaan Persekutuan tidak dapat mengulas kerana kes saman pemula oleh wakil rakyat Sabah masih dalam proses mahkamah dan tidak mahu mengganggunya.


“Pada tahun sama, wakil rakyat Sabah khususnya daripada UPKO berdepan tekanan dan desakan supaya saman pemula 40 peratus hak Sabah ditarik balik dengan jaminan bahawa selepas itu rundingan pelaksanaan akan dibuka di peringkat Kabinet Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, Madius berkata selepas penarikan balik saman itu pada 2024, UPKO menuntut janji Kerajaan Persekutuan untuk memulakan rundingan pelaksanaan hak tersebut, namun hasilnya mengecewakan.


Menurutnya, tiada perkembangan ke arah pelaksanaan sebenar sebaliknya hanya diberikan pemberian khas interim sesuatu yang jauh daripada tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Sabah sebagaimana yang dijamin dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


“Pada tahun yang sama setiap kali persoalan ini diajukan jawapan kerajaan tetap sama,” ujarnya.


Katanya, meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah menyentuh isu itu semasa lawatan beliau ke Tamu Gaya Street baru-baru ini, jawapan yang diberikan tidak berubah, iaitu kerajaan masih meneliti perkara tersebut tanpa sebarang pelan tindakan konkrit.


Mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkenaan isu tuntutan itu pada 17 Oktober lalu, Madius berkata ia merupakan detik bersejarah bagi rakyat Sabah, namun reaksi dingin kerajaan Persekutuan terhadap pelaksanaannya dilihat mengecewakan.


Melihat keadaan itu, katanya, UPKO mengambil pendirian tegas bahawa isu tersebut tidak boleh dipandang ringan.


“Sebagai tanda solidariti dan prinsip perjuangan, Presidennya Datuk Ewon Benedick mengambil langkah berani meletakkan jawatan sebagai Menteri. Ia merupakan simbol bahawa hak Sabah mesti dihormati bukan dijadikan mainan politik.


“Selepas itu UPKO dengan sebulat suara memutuskan untuk keluar daripada Pakatan Harapan kerana tiada lagi alasan untuk kekal dalam gabungan yang gagal menunjukkan komitmen terhadap hak Sabah,” ujarnya.


Beliau menegaskan, pendirian itu bukan didorong oleh faktor pilihan raya, sebaliknya berdasarkan prinsip perjuangan parti yang berasaskan keadilan dan maruah rakyat Sabah.


“Kita bukan menentang kerajaan, tetapi menuntut keadilan untuk Sabah,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page