UPKO terima penyertaan mantan Guru Besar Cikgu George Odol
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO terima penyertaan mantan Guru Besar Cikgu George Odol


7 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TONGOD: Bekas guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ansuan yang sebelum ini pernah tular kerana mendiami stor prasekolah, George Odol menyertai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), hari ini.


Beliau menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Bahagian UPKO Kinabatangan, Mohina Sidom di sini selepas Mesyuarat Koperasi Niaga Kuamut Berhad Kali Pertama, di Kampung Simpang Entilibon, di sini.


George berkata, beliau tertarik untuk menyertai parti itu kerana melihat perjuangan parti selepas dijenamakan semula selain melihat kepemimpinan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick serta di UPKO di peringkat bahagian.


"Melihat kepada visi dan misi UPKO selepas dijenamakan semula, saya percaya pertubuhan ini mampu mempertahankan hak dan kepentingan rakyat negeri ini.


"Saya juga tertarik dengan kepemimpinan UPKO yang ada sekarang khususnya Presiden parti yang berjuang mempertahankan kepentingan rakyat Sabah termasuk hak 40 Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.


"Di peringkat bahagian pula, saya melihat banyak usaha diambil pemimpin untuk mendekati dan membantu rakyat di akar umbi," katanya.


Selain tular dengan video memaparkan keadaan stor yang menjadi tempat tinggal selama tiga tahun berkhidmat di sekolah itu, George yang aktif di media sosial dan mempunyai kira-kira 22,000 pengikut di Tik Tok aktif memperjuangkan pelbagai isu mengenai rakyat di media sosial dengan yang terbaharu mengenai isu jalan rosak di Telupid.


Sementara itu, Mohina yang juga Ketua Wanita UPKO berkata, penyertaan George dalam parti itu menambahkan keyakinan dan kepercayaan rakyat di kawasan berkenaan terhadap perjuangan UPKO.


Katanya, sebagai bekas penjawat awam dan mempunyai sikap kepimpinan serta dikenali ramai, George mampu membantu apa juga program dan pelan pembangunan di kawasan berkenaan khususnya berkaitan pendidikan.


"Saya percaya dengan pengalaman beliau sebagai guru mampu menyumbang idea kepada parti bukan saja membantu menangani isu berkaitan pendidikan dan prasarana di pedalaman, malahan kepada rakyat Kinabatangan secara keseluruhannya kerana selama ini beliau lebih dekat dengan rakyat dan merasai kesukaran mereka," katanya.

bottom of page