"UPKO Tetap Di Hati" : Pinasang Moroulu Adakan Ketetapan Pada Mesyuarat Pertama 2025
- nabalunews
- Mar 26
- 1 min read

26 Mac 2025
KOTA BELUD: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Cawangan Kampung Pinasang Moroulu berjaya mengadakan mesyuarat pertama tahun ini pada 23 Mac lalu.
Berpandukan slogan "UPKO Tetap Di Hati", mesyuarat itu bertujuan untuk membincangkan perancangan cawangan, pemilihan wakil ke mesyuarat peringkat pusat, serta isu-isu pembangunan tempatan.
Naib Satu UPKO Bahagian Kota Belud, Saikom Watis yang hadir merasmikan mesyuarat berkenaan berkata, kerjasama di peringkat akar umbi amat penting bagi memperkukuh pergerakan parti menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Katanya, mesyuarat itu menunjukkan komitmen UPKO dalam memastikan suara komuniti didengari dan diperkasakan.
“Dengan PRN17 yang semakin hampir, persiapan dan penyusunan strategi parti di peringkat cawangan menjadi semakin penting.
“UPKO perlu bersedia menjadi pemimpin komuniti kerana kepimpinan bermula dari bawah sebelum melangkah ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pemuda UPKO Bahagian Kota Belud, Jolyhame Saran dan Pemangku Ketua Cawangan UPKO Kampung Pinasang Moroulu, Jiffanyus Sitimin.
Sementara itu, Jiffanyus berkata, mesyuarat turut membincangkan pemilihan wakil cawangan ke Mesyuarat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taginambur yang dijangka berlangsung April depan.
Selain itu katanya, mesyuarat itu juga menjadi platform untuk mengupas isu-isu semasa yang dihadapi penduduk Kampung Pinasang Moroulu.
“Antara perkara yang dibincangkan termasuk pembangunan infrastruktur yang telah siap, projek yang sedang berjalan, serta cadangan untuk pembangunan masa depan,” katanya.

















Comments