Upko tidak tuntut 73 Kerusi seperti GRS: Pemuda Upko
top of page
  • nabalunews

Upko tidak tuntut 73 Kerusi seperti GRS: Pemuda Upko




7 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Parti-parti politik berhak untuk mencadangkan atau menuntut kerusi yang mahu ditandingi. Ia merupakan hak parti masing-masing dan sudah menjadi lumrah setiap kali menjelang pilihan raya umum atau negeri.


Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Felix Joseph Saang berkata, gesaan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar UPKO menghentikan tuntutan adalah sangat menghairankan.


Katanya, beliau tidak faham dan rasa pelik dengan gesaan itu kerana Upko adalah parti komponen Pakatan Harapan dan bukannya parti komponen pihak lain.


"Ironinya, komponen parti GRS sendiri telah membuat kenyataan terbuka untuk bertanding 73 Kerusi. Mengapa kenyataan ini tidak dikritik oleh pemimpin GRS.


“Upko yang merupakan parti komponen PH dan juga PH Sabah itu sendiri tidak pernah menuntut 73 Kerusi seperti yang apa dituntut oleh pemimpin GRS", katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.


Menurutnya, apa yang pasti, mana-mana parti berhak untuk bersuara dan pemimpin GRS tidak seharusnya mengkritik apabila Upko bersuara soal kerusi untuk ditandingi.


Felix yang juga Ketua Bahagian Upko Beluran berkata, perlu diingatkan, Pakatan Harapan (PH) Sabah memainkan peranan yang sangat kritikal agar Kerajaan GRS tidak tumbang dan dapat bertahan apabila ada usaha untuk menjatuhkannya sebelum ini.


Katanya, mereka tidak perlu membuat kritikan sekiranya ada pihak lain yang menyuarakan pandangan dan istilah ‘abang besar’ sudah tidak boleh diguna pakai dalam kancah politik hari ini.


“Kita suburkan amalan demokrasi yang sihat dan kita seharusnya mempunyai sikap yang tebuka untuk mendengar pandangan dan cadangan semua pihak", katanya.


Sementara itu, Felix berkata, beliau menyokong penuh cadangan Presiden Upko, Datuk Ewon Benedick, agar pembahagian kerusi antara parti yang bekerjasama pada PRN akan datang haruslah sesuatu yang segar dan baru.


Katanya, ia bagi mengelakkan ‘budaya’ menuntut kerusi lama untuk memastikan pengagihan kerusi lebih adil antara semua parti komponen yang bekerjasama pada PRN akan datang.


“Pemuda mahu agar Upko bertanding lebih daripada jumlah kerusi yang ditandingi pada PRN 16 yang lalu selain terus kekal utuh bersama Pakatan Harapan,” kata Felix.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page