UPKO Tuaran tidak mahu peralihan kepimpinan sebelum PRU-15
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO Tuaran tidak mahu peralihan kepimpinan sebelum PRU-15


Rayner Ebi

24 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


TAMPARULI: Pertubuhan Kinabalu Progesif Bersatu (UPKO) Tuaran tidak mahu peralihan kepimpinan UPKO Malaysia dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Ketua Pemuda UPKO Bahagian Tuaran Rayner Ebi berkata, ini untuk memberikan tumpuan penuh bagi memastikan kemenangan parti pada PRU15.


“Kita harus menerima hakikat bahawa UPKO harus berdiri teguh menerajui perjuangan rakyat secara pogresif dan inklusif dan mengakui bahawa parti kini semakin mantap setelah penjenamaan semula dan penyertaan pelbagai etnik.


“Bagaimanapun apa saja yang berlaku dalam sesuatu organisasi politik seperti UPKO,  keutuhan dan kekuatan parti hendaklah dijadikan keutamaan termasuk dalam mendepani dan merancang peralihan kepimpinan.  

 

“Dalam masa yang sama, kita juga menyedari hakikat bahawa PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat pada bila-bila masa sebelum berakhir penggal pada penghujung tahun hadapan. Atas kesedaran bahawa UPKO kini berada pada tahap yang paling mencabar dengan hanya mempunyai satu ADUN dan satu Ahli Parlimen.


“Didasari dengan kesedaran bahawa segala keputusan dalam parti dan usaha-usaha seharusnya difokuskan kepada momentum untuk memenangi lebih banyak kawasan Parlimen semasa PRU15 nanti. Maka adalah lebih baik peralihan kepimpinan UPKO dilakukan selepas pilihanraya,” katanya ketika menyampaikan usul semasa Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Tuaran, di sini, hari ini.


Rayner berkata, usul itu juga dikemukakan dengan mengambil iktibar bahawa parti-parti politik yang besar tidak berani mengadakan pemilihan presiden mereka kerana mahu menumpukan segala tenaga untuk memenangi PRU15 yang menjelang tiba.


“Tidak dinafikan bahawa sejarah pertandingan Timbalan Presiden UPKO sebelum ini sedikit sebanyak mengajar kita akan kesan pertandingan apa tah lagi pertandingan presiden.


“Sudah pasti pertandingan menjelang PRU sedikit sebanyak akan mengalihkan tumpuan dan memberi kesan kepada keyakinan dalaman dan luaran UPKO,” katanya.


Katanya lagi, amalan UPKO yang mana peralihan Presiden Parti sebelum ini daripada Tan Sri Bernard Dompok kepada DSP Madius dibuat bukan melalui pertandingan juga perlu dijadikan ikhtibar.


“Budaya ini menunjukkan kesan positif kepada kemantapan, kekukuhan dan kekuatan parti.  

 

“Mengambil kira semua pertimbangan itu,  maka, pergerakan Pemuda UPKO Tuaran membentangkan usul supaya peralihan kepimpinan UPKO Malaysia dilakukan hanya selepas PRU15 dan biarlah peralihan kepimpinan UPKO khususnya jawatan Presiden digambarkan melalui pencalonan Timbalan Presiden,” katanya.


Mesyuarat itu dirasmikan oleh Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau.


Turut hadir Timbalan Presiden UPKO Pusat Datuk Donald Mojuntin, Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick, Setiausaha Agung Nelson W.Angang, Ketua Pergerakan Pemuda UPKO Felix Joseph Saang, Ketua Pergerakan Wanita UPKO Malaysia Datin Juliana Jani, ahli-ahli majlis tertinggi UPKO, ketua-ketua bahagian dan para perwakilan UPKO Tuaran.

bottom of page