UPKO tuntut lima perkara kepada menteri kewangan untuk dimasukkan dalam bajet 2023
top of page
  • nabalunews

UPKO tuntut lima perkara kepada menteri kewangan untuk dimasukkan dalam bajet 2023


14 Sept 2022


1. Pada 13 September 2022, saya menyerahkan memorandum bagi pihak Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dalam sesi libat urus cadangan Bajet 2023 kepada Menteri Kewangan, YB Senator Dato’ Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.


2. UPKO mencadangkan lima (5) perkara utama, iaitu yang pertama tuntutan hak pulangan 40% hasil bersih yang dikutip oleh Persekutuan pada setiap tahun daripada Sabah.


3. UPKO tetap berpegang kepada hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Artikel 112C, Seksyen 2(1) Bahagian 4, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan, dan sama sekali tidak bersetuju dengan keputusan pemberian khas menerusi geran tahunan yang dinaikkan 4.7 kali ganda atau RM125.6 juta (2022) berbanding RM26.7 juta sejak tahun 1973 kerana keputusan itu dilakukan tanpa mengambil kira hak 40 peratus.


4. Lantaran itu, UPKO menuntut agar bayaran pulangan cukai adalah mengikut kepada perjanjian Malaysia 1963 yang telah dimeterai dan seterusnya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu 40 peratus daripada jumlah hasil bersih yang dikutip oleh persekutuan dari Sabah, hendaklah diberikan kepada kerajaan Sabah kembali seperti mana yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Sabah.


5. Yang kedua, UPKO mahu supaya Bajet 2023 turut memasukkan Pewartaan Zon Perdagangan Bebas di setiap Taman Perindustrian di Sabah bagi merancakkan lagi pelaburan dalam sektor pembuatan, kemasukan pelaburan asing dan dalam negeri, pertukaran teknologi serta pewujudan peluang pekerjaan selain aktiviti ekonomi Sabah perlu dimodenkan dan ditingkatkan.


6. Pewartaan Zon Perdagangan Bebas itu merangkumi tiga (3) Taman industri iaitu Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Lahad Datu Palm Oil Industrial Cluster (POIC) dan Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP).


7. UPKO terus memperjuangkan masalah kemiskinan yang membelenggu di Sabah terutama di lapan (8) daerah yang direkodkan sebagai antara 10 daerah termiskin di Malaysia iaitu daerah Kudat, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Tongod, dan Nabawan.


8. Justeru, dalam cadangan UPKO yang ketiga, kita meminta kerajaan menggunakan salah satu pendekatan membasmi kemiskinan yang terbukti berjaya di seluruh dunia iaitu pendekatan “Grameen Bank” yang diperkenalkan oleh Prof. Yunus di Bangladesh. Pendekatan sebenarnya telah dilaksanakan oleh Malaysia dalam bentuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan sudah pun beroperasi di Malaysia sejak tahun 1987 dan Yayasan Usaha Maju (YUM) di Sabah.


9. AIM telah terbukti berjaya mencapai bayaran balik melebihi 98 peratus dan seterusnya berjaya mengurangkan kemiskinan terutama sekali dalam kalangan wanita untuk pembiayaan Keusahawanan ecil-kecilan dengan cara menambahkan pendapatan terutamanya golongan B40, B30, B20 dan B10 dari semua daerah termiskin di Sabah.


10. Untuk itu, UPKO menuntut supaya perhatian khas diberikan kepada daerah-daerah yang telah dikenal pasti sebagai daerah termiskin dan AIM sudah pun beroperasi di tempat tersebut dengan mencadangkan supaya dana pinjaman yang ada sekarang ditambah dua kali ganda. Oleh itu, cadangan tambahan peruntukan pembiayaan AIM untuk tahun 2023 ia itu sejumlah RM172 Juta seperti berikut.

11. Cadangan keempat yang kita bawakan dalam Memorandum untuk dimasukkan ke dalam Bajet 2023, ialah supaya bajet kali ini turut memasukkan peruntukan kewangan terhadap pengambilan guru pelatih Bahasa Kadazandusun di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent, Tuaran.


12. Difahamkan kohot kursus ini pada tahun 2023 tidak diiklankan kerana kekangan peruntukan kewangan. Kami berpendapat pengiklanan untuk mendapatkan pelajar untuk sesi 2023 masih belum terlambat. Apa yang diperlukan ialah peruntukan pada kadar RM53, 875 bagi seorang pelajar bagi tempoh pengajian selama lima (5) tahun. Kami mencadangkan supaya kerajaan membiayai 20 pelajar untuk kohot 2023 dengan jumlah kos RM1,077,500 untuk mengendalikan kursus tersebut.


13. Akhir sekali, UPKO mencadangkan sebuah peruntukkan khas bagi menaiktaraf jalan-jalan luar bandar di Sabah. Sebagai makluman, di Sabah masih ada kira-kira lebih 5,000km jalan raya di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang perlu dinaiktaraf dari gravel ke aspal. Dan ini tidak termasuk pembinaan baru yang memang diperlukan. Justeru, UPKO minta supaya kerajaan memberi keutamaan memberi peruntukan menaik taraf jalan-jalan tersebut dalam Bajet 2023 dengan kadar RM2 Juta sekilometer.


14. Saya bagi pihak UPKO menyambut baik jemputan untuk menyertai libat urus cadangan Bajet 2023. Kita juga berterima kasih kerana Menteri Kewangan iaitu YB Senator Tengku Zafrul sendiri telah menerima dan pada asasnya memberi maklumbalas yang baik terhadap cadangan-cadangan UPKO. Kesemua perkara yang dicadangkan ini adalah dengan objektif untuk manfaat dan impak kepada pembangunan ekonomi Sabah demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat wilayah Sabah.


Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau

Presiden UPKO

Ahli Parlimen P.170 Tuaran

bottom of page