Urus masa khidmat di Kadamaian dan Penampang bukan masalah buat Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Urus masa khidmat di Kadamaian dan Penampang bukan masalah buat Ewon



Ewon (tengah) bertanya khabar penduduk kampung.

4 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Kesibukan menghadiri program-progam bertemu rakyat di Penampang tidak menghalang calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick meluangkan masanya bertemu rakyat Kadamaian.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian itu berkata, pengurusan masa amat penting untuk membolehkannya menyantuni rakyat di Kadamaian dan Penampang.


“Ini adalah tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat Kadamaian dan pada masa yang sama menjadi tanggungjawab saya menghadiri program-program bertemu rakyat di Penampang.


Ewon bersalaman dengan penduduk kampung yang berniaga di Tamu Taginambur.

“Jarak antara kawasan DUN Kadamaian dan Parlimen Penampang hanya dipisahkan dengan jarak perjalanan lebih kurang satu jam setengah.


“Selama ini saya menetap di Penampang tetapi sentiasa menjalankan tanggungjawab saya sebagai Wakil Rakyat Kadamaian. Pagi boleh melawat kampung di Kadamaian, petang boleh melawat kampung di Penampang,” katanya.


Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu meluangkan masa mengadakan tinjauan mesra dan bertemu rakyat di Tamu Taginambur, di sini, pagi tadi.



"Saya gembira melihat para peniaga Tamu Taginambur kini mempunyai tempat yang lebih selesa untuk menjual hasil-hasil pertanian mereka setelah kawasan ini dinaiktaraf,” katanya.


Ewon yang juga bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah berkata, penaiktarafan kawasan Tamu Taginambur dan pembinaan Dewan Kadamaian Square, Rumah Rehat dan Kantin di kawasan itu adalah antara kemudahan yang beliau berjaya laksanakan di kawasan Kadamaian.


Selain itu pembangunan lain yang telah dilaksanakan ialah penaiktarafan jalan kampung, jalan perhubungan desa, pembinaan dewan serbaguna, dewan terbuka, jambatan gantung, gimnasium rakyat, gelanggang sukan, laluan pelancongan komuniti dan bangunan keusahawanan desa.



Ewon membeli hasil pertanian yang dijual penduduk kampung sebagai sokongan kepada peniaga kecil-kecilan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Ewon akan bertanding di Parlimen Penampang.


Setakat ini, calon-calon lain yang disahkan bertanding di kerusi Parlimen Penampang ialah Datuk Darell Leiking (Warisan) dan Kenny Chua (GRS/BN).


Ewon bergambar bersama ahli Persatuan Alunan Seni Budaya Sabah.


bottom of page