top of page
  • Wartawan Nabalu News

Usaha martabatkan MAN Sabah perjuangan berterusan: Ewon


Ewon bergambar bersama sebahagian peserta seminar itu.

30 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, usaha untuk memartabatkan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Sabah adalah perjuangan berterusan parti itu agar ia setaraf dengan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.


“Di Sabah, kita mempunyai tiga jenis mahkamah iaitu Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah dan Mahkamah Anak Negeri.


“Perjuangan saya dan parti UPKO sejak dahulu adalah supaya ketiga-tiga mahkamah ini sama taraf. Sebab itu UPKO akan terus memainkan peranan penting memartabatkan Mahkamah Anak Negeri dan ianya akan menjadi perjuangan berterusan,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Literasi Undang-Undang Adat Negeri anjuran Persatuan Wanita dan Keluarga Kota Belud (KBwake), di Skyblue Kg.Piasau, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, antara kejayaan yang telah dicapai oleh UPKO selama ini ialah penubuhan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri Sabah (ILMAN) di Penampang.


“Saya juga telah mencadangkan supaya bangunan Mahkamah Anak Negeri di Kota Belud diwujudkan dan berharap ia dapat dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030).



“Bangunan MAN di Kota Belud perlu dibina supaya tidak perlu lagi menumpang di Pejabat Daerah. Hanya kita perlu mengenalpasti tapak cadangan bangunan tersebut.


“Dari segi peruntukan, kita boleh memohon daripada kerajaan persekutuan melalui program khas anak negeri Sabah sekiranya tapak sudah dikenalpasti. Saya cadangkan bangunan MAN Kota Belud dibina di kawasan Kadamaian,” katanya.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu turut menggalakan masyarakat Anak Negeri agar menggunakan perkhidmatan yang disediakan.



“Mahkamah Anak Negeri ini adalah mahkamah milik kita. Oleh itu saya menggalakkan semua masyarakat anak negeri di Sabah supaya menggunakan mahkamah ini untuk urusan-urusan yang berada di bawah bidangkuasa MAN, misalnya perkahwinan, pertunangan dan isu-isu berkaitan tanah anak negeri.


“Saya sendiri mendaftarkan perkahwinan saya melalui Mahkamah Anak Negeri Kota Belud,” katanya.


Seminar sehari itu dihadiri seramai 80 peserta.

Comments


bottom of page