top of page

Usaha memartabat Bahasa Kadazandusun, perjuangan berterusan: Ewon

Wartawan Nabalu News

Ewon meletakkan buku sebagai simbolik pelancaran, turut kelihatan Philip (dua dari kanan), Rita (kanan) dan Raisin (dua dari kiri).

24 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, usaha memartabatkan Bahasa Kadazandusun adalah perjuangan berterusan bagi memastikan bahasa itu tidak hilang ditelan zaman.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, kerajaan menghargai usaha pelbagai pihak termasuk Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF) yang komited memperjuangkan Bahasa Kadazandusun itu.


“Program ini merupakan kesinambungan dalam menerbitkan Modul Buku Kerja Bahasa Kadazandusun yang terbaik khusus untuk murid Tahun 4, 5 dan 6 bagi membantu mereka membudayakan bahasa ibunda.


Ewon ketika berucap pada majlis itu.

“Saya sangat menghargai jasa dan kesungguhan YBR dan KLF menganjurkan Karnival Bahasa Kadazandusun dan majlis pelancaran Buku Kerja Bahasa Kadazandusun Tahun 4, 5 dan 6,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Buku Kerja Bahasa Kadazandusun Tahun 4, 5 & 6, di Ballroom Hall 2, ITCC, Penampang, di sini, hari ini


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, program hari ini amat dekat dihatinya dan Bahasa Kadazandusun adalah perjuangannya dalam memartabatkan pendidikan negara.


“Saya amat teruja menyaksikan Modul Buku Kerja Bahasa Kadazandusun bagi Tahun 4,5 dan 6 dihasilkan kurang dari 6 bulan sahaja dengan penglibatan YBR melalui kerjasama KLF,” katanya.



Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada YBR kerana menyokong inisiatif ini dan berharap YBR bersetuju menganjurkan karnival Bahasa Kadazandusun pada tahun hadapan.


Sementara itu Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang berkata, beliau amat menyokong usaha dalam memartabatkan bahasa ibunda di kalangan generasi muda yang semakin hari semakin moden dan menjadi ikutan masa kini.


“Penganjuran Bengkel Penulisan Modul Buku Kerja Bahasa Kadazandusun ini merupakan satu langkah proaktif dan selari dgan inisiatif global untuk memelihara Bahasa ibunda sempena Dekad Antarabangsa Bahasa Orang Asal dibawah UNESCO.


“YBR sentiasa menyokong pendidikan negara secara holistik dan program sebegini memberikan impak positif kepada guru dan pelajar.



“Diharapkan kerjayaan penghasilan modul buku kerja Tahun 4, 5 & 6 ini dapat membantu para guru untuk lebih semangat menyampaikan ilmu kepada para pelajar untuk diwarisi turun temurun,” katanya.


Katanya lagi, usaha murni ini merupakan salah satu inisiatif YBR dalam mempelbagaikan cabang pendidikan serta sedikit sebanyak membantu sebagai persiapan menjadi sebahagian pelaksanaan karnival bahasa kadazandusun di peringkat negeri pada tahun hadapan.


Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin; Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani serta Pengurus Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.


Comments


bottom of page