Usahawan disaran terlibat rantaian industri halal
24 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Golongan usahawan, khususnya yang terlibat dalam Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negeri ini, disaran agar melibatkan diri dengan rantaian industri halal yang semakin berkembang pesat di negara ini.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MIDE), Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata Sabah sebenarnya amat beruntung kerana terletak berhampiran dengan negara kuasa besar ekonomi dunia seperti China, Korea dan Jepun.
“Ini merupakan satu peluang baik dan kita mempunyai potensi besar untuk mengembangkan industri halal, seterusnya meningkatkan hasil dari segi produk dan perkhidmatan,” katanya.
Justeru, beliau mahu para usahawan tempatan merebut kesempatan ini kerana industri halal dijangka mampu menjana pendapatan sehingga USD5 trilion menjelang 2030.
Pada masa yang sama, katanya, kerajaan negeri menerusi MIDE sentiasa memberikan bantuan kepada semua usahawan atau pemegang taruh di Sabah untuk meningkatkan lagi prestasi perniagaan mereka.
“Pelbagai bentuk bantuan dan peruntukan ada disediakan kerajaan, khususnya berkaitan industri halal untuk membolehkan lebih ramai lagi usahawan terlibat secara langsung,” katanya selepas merasmikan Jelajah Halal Malaysia @ Tawau, di sini, semalam.
Jelajah yang berlangsung 23 hingga 25 Julai di Hotel Borneo Royal itu, menghimpunkan sekitar 400 peserta dari sekitar Tawau.
Andi yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata, penganjuran jelajah tersebut bertujuan untuk berkongsi dan memberi pencerahan berkenaan usaha negara untuk menempatkan diri sebagai hub industri halal di seluruh dunia.
Menerusi program itu katanya, para usahawan tempatan diberikan maklumat terkini berkenaan peluang pasaran industri halal, sekaligus menggalakkan penyertaan usahawan ke dalam industri berkenaan.
Beliau turut berterima kasih kepada Halal Development Corporation Bhd (HDC) dan
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta MIDE di atas penganjuran jelajah tersebut.
Comments