top of page
nabalunews

Usahawan kraf Sabah perlu manfaatkan skim pembiayaan, lebih kreatif untuk jana pendapatan, tembusi pasaran - Ewon

28 September 2024


KOTA KINABALU: Usahawan wanita di Sabah digesa agar merebut peluang dari pelbagai skim pembiayaan untuk membantu usahawan wanita yang disediakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi-agensinya seperti Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata antaranya ialah Skim Pembiayaan Ikhtiar oleh AIM, Skim Pembiayaan TEKUN-Wanita (TekunNita), Program Pemerkasaan Usahawan Wanita di bawah INSKEN, Skim Pembiayaan BRPlus-iBizLady, dan Program Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) oleh Pernas.


Selain itu, TEKUN Nasional juga menawarkan Skim Pembiayaan Usahawan Kraf, yang bertujuan membantu pengusaha kraf tangan kategori mikro untuk mengembangkan perniagaan mereka, membina rangkaian pengusaha kraf tempatan yang mampan, serta mewujudkan peluang pekerjaan.

Skim ini menawarkan pembiayaan antara RM1,000 hingga RM100,000, dan usahawan boleh memohon melalui pejabat cawangan TEKUN yang berhampiran.


"Kerajaan amat menyedari peranan penting usahawan wanita dalam memacu ekonomi negara dan oleh itu, pembiayaan khas ini disediakan untuk membantu mereka berjaya," ujar beliau.


Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Program Pertandingan Rekaan Busana Dalai dan Ratu Dalai Sabah 2024 di Courtyard Hotel, Kota Kinabalu, semalam.

Teks ucapan Ewon disampaikan oleh Ahli Lembaga TEKUN Nasional, Rowindy Lawrence.


Sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon turut menyatakan harapannya agar ahli-ahli Persatuan Komuniti Penggiat Dalai Sabah mampu mencipta kejayaan yang setanding dengan usahawan-usahawan lain.


"Saya melihat kraf tangan berasaskan manik atau biji dalai berpotensi untuk dikembangkan dan mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya diusahakan dengan bersunguh-sungguh.


"Banyak produk kraf boleh dihasilkan daripada Dalai, antaranya aksesori wanita, beg tangan, perhiasan baju dan boleh juga dijadikan sebagai cenderahati, sebagai hadiah atau perhiasan dinding rumah, mengikut kreativiti pembuat kraf.


"Oleh itu saya berharap para usahawan yang terlibat dalam bidang kraf tangan supaya lebih kreatif dan mempelbagaikan hasil kraf berasaskan biji Dalai," katanya.


Menurut Ewon, Program Pertandingan Rekaan Busana Dalai dan Ratu Dalai Sabah 2024 adalah satu usaha penting dalam memelihara dan mempromosikan seni serta budaya masyarakat tempatan.


Sebanyak 13 orang finalis yang mewakili lima kawasan utama di Sabah—Banjaran Crocker, Banjaran Terus Madi, Banjaran Maitland, Banjaran Witti, dan Banjaran Brassey,.bersaing bagi merebut gelaran Busana Dalai Terbaik 2024 dan Ratu Dalai.


Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para finalis atas usaha mereka dalam menghasilkan busana yang kreatif dan menarik berasaskan elemen tradisional Dalai.


"Program ini amat selaras dengan usaha kerajaan untuk memulihara warisan seni dan budaya kita. Saya yakin bahawa kraf tangan berasaskan biji Dalai mempunyai potensi besar untuk dikembangkan dan mampu menjana pendapatan yang lumayan, sekiranya diusahakan secara bersungguh-sungguh," kata Ewon.


Ewon menyuarakan harapan agar acara seperti ini dapat diteruskan di masa akan datang agar usahawan kraf di Sabah dapat terus menghasilkan produk yang lebih kreatif berasaskan Dalai.


Beliau yakin kraf tangan berasaskan biji Dalai dapat terus berkembang dan menjadi simbol kekayaan budaya Sabah di peringkat nasional dan antarabangsa.

تعليقات


bottom of page