Usahawan PMKS perlu bersedia patuhi amalan ESG: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Usahawan PMKS perlu sedia patuhi amalan ESG: Ewon

22 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) perlu bersedia mengharungi cabaran pematuhan amalan Environment, Social, Governance (ESG) dalam ekosistem perniagaan.


Beliau berkata, walaupun ESG masih di peringkat awal pelaksanaannya, namun ia akan menjadi tonggak utama mengukur kemampuan PMKS serta firma profesional lain dalam membina tenaga kerja yang kukuh dan menambah peluang perniagaan.


“Keperluan ini menjadikan ESG semakin penting dan akan menjadi trend masa hadapan. Ini selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Agenda Pembangunan Mampan 2030.

“Oleh itu, saya menggalakkan usahawan supaya menerima pakai amalan ESG. Ini kerana ia bukan sahaja memberikan impak sosial dan persekitaran positif.


“Antaranya peningkatan produktiviti, penjimatan kos dan reputasi jenama dalam perniagaan. Selain itu ia juga membantu usahawan menembusi rantaian bekalan firma besar dan syarikat multinasional yang telah menetapkan keperluan kepatuhan ESG untuk pemasaran pembekalan produk serta perkhidmatan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Jiwa SME 2023 Astro Awani, di Imago, di sini, hari ini.


Program itu yang berlangsung selama dua hari itu merupakan kerjasama strategik antara ASTRO Awani dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Sabah merupakan lokasi pertama bagi Jelajah JIWA SME 2023 sebelum ke Johor, Kelantan, Pulau Pinang, dan Kuala Lumpur.


Ewon berkata, program ini selaras dengan hasrat kerajaan melalui Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) untuk membudayakan keusahawanan dalam kalangan masyarakat Malaysia.


“Keusahawanan adalah bidang yang cukup dekat di hati saya. Saya dibesarkan oleh ibu yang merupakan seorang peniaga. Hasil pengorbanan ibu dan rezeki jualan yang diperolehi telah menjadikan siapa saya pada hari ini.


“Sebab itu, selagi saya memegang portfolio ini, saya berusaha menggalas tanggungjawab yang diberikan, dalam memperjuangkan masa depan yang lebih baik kepada usahawan PMKS di negara ini,” katanya.

Katanya lagi, KUSKOP memegang tanggungjawab dan amanah yang besar dalam agenda pembangunan keusahawanan di negara ini.


“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, untuk Membina Semula Ekonomi, ekosistem keusahawanan yang kondusif perlu diperkukuhkan bagi menyokong pertumbuhan usahawan, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).


“Galakan, insentif dan dorongan penuh harus diberikan kepada PMKS supaya mereka berupaya membangunkan perniagaan yang berdaya saing dan mampan seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat,” katanya.


Mengenai inisiatif khusus untuk Sabah, Ewon berkata KUSKOP telah melancarkan beberapa inisiatif untuk usahawan di Sabah antaranya Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), Perniagaan Usahawan Mikro (BizME), Tunas Usahawan Bumiputera (TUBE), Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) dan Pembiayaan BRTani (BRTani).

“Skim Pembiayaan Usahawan Tamu oleh TEKUN Nasional merupakan skim pembiayaan khusus untuk usahawan yang berniaga di Pasar Tamu khususnya Sabah dan Sarawak. Had maksimum pembiayaan sehingga RM5,000 dan dilindungi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO sebagai perlindungan insurans.


“Sehingga 12 Julai tahun ini, TEKUN menyalurkan pembiayaan bernilai RM1.42 juta kepada 289 orang usahawan,” katanya.


Ewon berkata, pada tahun ini geran bernilai RM453,245 telah diperuntukkan oleh SME Corp di bawah Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) BizME bagi manfaat lebih 155 usahawan di Sabah untuk membantu perusahaan mikro menaiktaraf serta meningkatkan produktiviti perniagaan mereka.


“Menerusi BizME perusahaan mikro diberikan bantuan teknikal dan sokongan bagi mengembangkan perniagaan serta melatih komuniti inklusif memperoleh kemahiran baharu untuk menjana pendapatan.

“Manakala, melalui SME Bank pula, pembiayaan bernilai lebih RM48 juta telah diluluskan kepada 56 orang usahawan PMKS di Sabah sehingga Jun 2023.

“Selaras dengan hala tuju kerajaan perpaduan, kementerian terus aktif memastikan keterlibatan usahawan mikro, kecil dan sederhana dalam projek-projek pembangunan negara,” katanya.

bottom of page