top of page

Usahawan Restoran Kadamaian Sang Nyuk Mee mahu kembangkan perniagaan

nabalunews

14 Ogos 2024


KOTA BELUD: Bermula sebagai perniagaan kecil-kecilan dengan hanya memasak mee sup Kota Belud dari rumah pada setiap hujung minggu, 11 tahun lalu, kini pengusaha restoran Kadamaian Sang Nyuk Mee di Kampung Ratau, Jalan Ranau Bypass di sini, Mujin Soborong, 43 tahun, mahu mengembangkan lagi peniagaannya.


Usahawan yang berasal dari Kampung Bundu Paka, Kota Belud ini mengusahakan restoran dengan menu utama, SangNyukMee yang popular di kalangan pelanggan setianya.


Mujin yang mempunyai 2 pekerja di restorannya telah membuat pinjaman RM1,000 di Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk membeli barangan keperluan memasak.


Mengimbas kembali operasi perniagaannya, Mujin berkata pada

2014, dia menambah menu di restorannya iaitu Ngiu Chap yang disediakan seminggu sekali.


"Pada 2015 saya mempelajari masakan sangnyukmee dan menambah 3 menu. Pada ketika itu, saya terpaksa membina gerai makan dinamakan Kedai Lampu Hijau di sebelah rumah kerana semakin ramai pelanggan.


"Naik turun perniagaan adalah asam garam kehidupan seperti saya tidak dapat meneruskan perniagaan ketika pandemik COVID-19," katanya.


Mujin berkata tahun lalu, beliau mengambil keputusan berpindah dan menyewa kedai di Kampung Ratau, Jalan Ranau Bypass dengan menyediakan hanya 2 menu, sangnyukmee dan ngiuchap.


Mujin mempelajari sendiri kemahiran memasak kerana minat yang amat mendalam dalam bidang masakan.


Dia juga tidak pernah bekerja di mana mana restoran atau hotel sebelum ini.


Katanya pada permulaan perniagaan ini, dia berdepan pelbagai cabaran seperti modal dan kekangan masa memandangkan anak-anaknya masih kecil.


Namun semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perniagaan.


Bagi perancangan masa hadapan, Mujin berhasrat membuka cawangan restorannya di Pekan Kota Belud.


"Angan-angan itu percuma tetapi jika direalisasikan dalam bentuk tindakan, usaha dan tekad, maka ia akan menjadi realiti," katanya.


Sempena Tahun Melawat Malaysia 2025, beliau amat teruja kerana kawassn Kadamaian adalah pusat pelancongan di Kota Belud.


"Bila ramai yang datang melancong maka kedai-kedai makan, apa saja produk dan perniagaan akan mendapat tempias," katanya.


Mujin berkata peranannya sebagai peniaga dan pada masa yang sama berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bundu Paka Kota Belud, tidak mendatangkan masalah kepadanya.


Beliau turut menyertai Taklimat Keusahawanan & Penggalakan Masyarakat Berkoperasi Zon Kebayau Kota Belud di Kampung Bundu Paka, 22 Jun lalu yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.


Beliau bersyukur kerana mempunyai wakil rakyat seperti Ewon yang sentiasa bekerja keras dan menggalakkan rakyat menceburi bidang keusahawanan dengan memanfaatkan pelbagai bantuan dan pembiayaan yang ditawarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, selain membawa lebih banyak peruntukan pembangunan untuk Kadamaian demi manfaat rakyat.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page