top of page
  • Wartawan Nabalu News

Usahawan selebriti terkenal sertai Kempen Mari Beli Lokal Ramadan & Raya di MyMall


22 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan RM2.5 juta hasil jualan usahawan tempatan melalui Kempen Mari Beli Lokal.


Kempen itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, di sini, hari ini.


Buat julung kali KUSKOP memperkenalkan kempen Mari Beli Lokal - Ramadan & Raya yang dikuasakan oleh platform digital tanpa caj iaitu MyMall.

Hampir 1000 usahawan menyertai kempen kali ini yang menawarkan 803 produk seperti pes masakan segera, produk runcit, pakaian raya dan kuih raya.


Orang ramai juga berpeluang untuk mendapatkan produk daripada usahawan tempatan daripada Sabah seperti Ikan Bilis Mata Biru.


Mari Beli Lokal juga disertai usahawan selebriti terkenal seperti Lima Waktu, 7zikr, KEKASIH by The Melvins, Aspirasi Jelita Ainina Ahmad B, Girl’s Republik, SamTilla, Starvendors dan Boenda.


Pelbagai peraduan akan dilaksanakan melalui platform media sosial sepanjang kempen ini berlangsung. Ia menawarkan hadiah menarik berupa baucar beli belah di MyMall dan dua unit iPad sebagai hadiah utama.

Ewon berkata, kempen itu antaranya bertujuan menarik sokongan orang ramai kepada produk tempatan yang dikeluarkan usahawan Malaysia.


“Kempen ini bertujuan memberi sokongan terhadap produk dan perkhidmatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan, dan secara tidak langsung membantu proses pendigitalan PMKS di Malaysia.

“Usahawan tempatan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka dijemput menyertai platform jualan digital MyMall dengan mendaftarkan perniagaan mereka di www.mymallmalaysia.my atau e-mel ke contact@mymallmalaysia.my.


“Manakala bagi yang berminat mendapatkan kelengkapan Ramadan dan Raya seperti makanan, pakaian, perhiasan dan pelbagai keperluan lain boleh membuat pesanan menerusi www.mymallmalaysia.my atau aplikasi MyMall 2.0 yang boleh dimuat turun di PlayStore atau AppStore,” katanya.

Ewon berkata, selain menyediakan platform e-dagang tanpa caj, MyMall turut menawarkan akses terhadap pembangunan kapasiti, pembiayaan perniagaan dan pemasaran kepada usahawan dan koperasi tempatan.


“KUSKOP terus komited dalam membantu pembangunan usahawan dan koperasi dengan pelbagai inisiatif terkini dan berimpak tinggi.


“Langkah ini bertepatan dengan konsep Malaysia MADANI, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan,” katanya.


Kommentare


bottom of page