Usahawan TEKUN mahu lebih banyak pembiayaan disalurkan kepada usahawan kecil luar bandar
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Usahawan TEKUN mahu lebih banyak pembiayaan disalurkan kepada usahawan kecil luar bandar

13 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Usahawan-usahawan Tekun Nasional Kota Belud mahu lebih banyak pembiayaan disalurkan kepada usahawan-usahawan kecil terutamanya di kawasan luar bandar.


Pengurus Besar ADEN Mini Market Kg.Tambulion Ulu Boniface Jiran berkata, ini penting bagi membantu mereka mengembangkan lagi perniagaan seterusnya meningkatkan pendapatan.


“Saya yakin, skim-skim pembiayaan yang disediakan oleh Tekun selama ini telah banyak membantu usahawan-usahawan kecil.


“Saya juga percaya Tekun mempunyai perancangan terbaik untuk membantu para pengusaha kedai runcit termasuk di kampung saya.

“Harapan saya, Tekun terus membantu rakyat yang berusaha untuk menambah sumber pendapatan dan meningkatkan sosio ekonomi di kawasan kampung terutamanya usahawan belia,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jejaki Usahawan Tekun Kota Belud, di sini,hari ini.


Boniface percaya, dengan sokongan dan bantuan daripada Datuk Ewon Benedick, selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, lebih ramai usahawan dapat dibantu untuk maju ke hadapan.


Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Ewon dan pihak TEKUN atas kunjungan mereka ke Aden Mini Market.

(Dari kiri ke kanan), Boniface, Cyelin, Norhana dan Jalita.

“Kunjungan Datuk Ewon bersama Pengurus Tekun Sabah Hemin Osumping memberikan suntikan motivasi kepada usahawan-usahawan khususnya usahawan belia untuk terus berusaha gigih memajukan lagi perniagaan mereka,” katanya.


Sementara itu usahawan belia yang juga Pengurus Aden Mini Market, Cyelin Golbath berharap, Tekun Nasional dapat menyalurkan lebih banyak pembiayaan kepada usahawan-usahawan belia.


“Ramai belia seperti saya berkecimpung dalam bidang perniagaan tetapi sukar mengembangkan perniagaan kerana masalah kewangan.

“Oleh itu, saya amat berharap agar TEKUN dapat terus membantu usahawan-usahwan kecil seperti kami,” katanya.


Pengusaha kedai runcit di Kg.Tambulion Ulu Norhana Sepil, turut  merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Ewon dan Tekun atas sokongan berterusan kepada usahawan-usahawan kecil.


“Saya amat teruja kerana hari ini, kedai kami dikunjungi oleh seorang menteri (Datuk Ewon). Kunjungan ini membuktikan beliau benar-benar ikhlas membantu memajukan lagi usahawan kecil luar bandar.


“Harapan saya agar Tekun dapat menyalurkan lebih banyak pembiayaan supaya saya boleh memperbesarkan lagi kedai ini seterusnya memberi impak kepada masyarakat dan ekonomi negara,” katanya.

Pengusaha Roadside Cafe Kg, Ranglau Jelita Antartika berkata, melalui pembiayaan daripada Tekun, beliau dapat mengembangkan perniagaannya daripada gerai kecil kepada cafe yang lebih besar.


“Perancangan saya pada masa akan datang ialah memperbesarkan lagi cafe ini,” katanya.


Jalita turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Ewon selaku Adun Kadamaian atas sokongan berterusan kepada usahawan-usahawan kecil di kawasan itu.


bottom of page