Usia selamatkan tanah, aset terbengkalai lebih 10 tahun
- nabalunews
- Mar 6, 2025
- 2 min read

6 Mac 2025
KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) berjaya menyelamatkan beberapa asetnya yang dikenal pasti terbengkalai sejak lebih 10 tahun lalu untuk dimajukan.
Yang Dipertua Usia, Datuk Sapawi Ahmad berkata, usaha memperkasakan aset seperti tanah dan bangunan milik Usia untuk dibangunkan semula sedang giat dilakukan ketika ini menerusi pelaksanaan Pelan Strategik 2022-2024.
"Dalam pembugaran pelan strategik ini, salah satu daripada fokus Usia adalah kita memperkasakan tanah dan aset yang masih terbengkalai untuk dibangunkan dan ia akan menjadi salah satu sumber pendapatan kekal untuk Usia jika dibangunkan.

"Contohnya, tanah seluas 4.8 hektar di Semporna telah dibangunkan dan kini prosesnya sekitar lebih 40 peratus yang dilaksanakan oleh syarikat dari bursa saham," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Bengkel Pelan Strategik Pembugaran Usia 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan antara faktor tanah milik Usia terbengkalai disebabkan wujudnya perjanjian yang berat sebelah dan kini memerlukan semakan semula sebelum sebarang tindakan diambil.
"Kita tidak mengambil tindakan sebelum ini kerana terdapat banyak perjanjian usaha sama (JVA) itu berat sebelah, jadi kita melihat dari sudut itu dan ia akan dikemas kini dari segi perundangan dan sebagainya.
"Ada juga tanah terbengkalai lebih 10 tahun, contohnya tanah di Semporna ini terbengkalai sejak 2012 di mana pemaju tidak dapat melaksanakan pembangunannya dan berhutang dengan bank serta menyebabkan tanah ini hampir dilelong.
"Namun kita telah berjaya menyelesaikannya dan kini dalam proses pembangunan semula," jelasnya.
Sebelum itu, Sapawi berkata, dalam pelaksanaan Pelan Strategik 2022-2024 yang dilancarkan sebelum ini memfokuskan enam perkara dan pelaksanaan perlu pembugaran yang dikenali sebagai Pelan Straregik 2.0.
"Pelan Strategik 2.0 ini akan dilancarkan dalam tempoh dua bulan lagi dan menerusi bengkel ini kita dalam pemurnian termasuk melakukan penstrukturabn semula pengurusan dan pentadbiran dakwah Usia Pusat, zon dan bahagian-bahagian.
"Di samping itu juga, kita akan melihat secara menyeluruh dalam aspek yang berkaitan iaitu kaedah atau langkah dalam proses penjenamaan program yang dilakukan oleh bahagian dakwah iaitu termasuk mewujudkan pengarah dakwah pusat yang selama ini kita tidak mempunyai pengarah," katanya.















Comments